Mangsa, Nur Kamarul Adnan Abdul Aziz, 32, yang cedera di perut, muka dan kedua-dua belah tangan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Tong. 

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Zulkifli Mat Deris berkata, mangsa yang bertugas di TLDM Lumut, Perak itu dikatakan menggunakan bom tersebut untuk memukat ikan bersama abang, adik dan adik iparnya. 

Katanya, kesemua mereka tiba di sungai berkenaan kira-kira pukul 3 petang dan semasa ingin menaiki sampan, mangsa dilihat memegang satu plastik hitam namun,  tidak memberitahu kepada ahli keluarga tentang isi kandungan barangan tersebut walaupun ada yang bertanya. 

Menurutnya, setelah hampir 15 minit menaiki sampan, mangsa kemudian meminta supaya ditinggalkan di tebing sungai manakala ahli keluarga lain disuruh menunggu dan memasang pukat di bahagian hilir.

"Selepas 10 minit memasang pukat di hilir sungai, mereka bertiga dikejutkan dengan satu letupan kuat dan segera menjerit nama mangsa namun, tiada sebarang jawapan. 

"Mereka bergegas ke tempat mangsa ditinggalkan dan mendapati dia terbaring dengan kecederaan di perut, muka dan kedua-dua belah tangan," katanya di sini hari ini. 

Zulkifli berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Sungai Tong untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia sebelum  dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - UTUSAN ONLINE