Presiden Koperasi Kereta Sewa Malaysia, Mohd. Afandi Aman berkata, ke­dua-dua individu berkenaan bertemu dengannya bagi meminta bantuan untuk melunaskan hutang ke­semua kenderaan yang berusia lima tahun itu.

“Saya cuba membantu setakat yang mampu kerana tidak semua pelanggan hendak menyewa kereta sedemikian. Misalnya pelanggan wa­nita lebih selesa memandu ken­deraan bersaiz kecil.

“Mereka sebenarnya menjadi mangsa kepada pengusaha kereta sewa yang tidak bertanggungjawab yang mahu mengaut keuntungan dengan menggunakan orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Affandi yang juga menjalankan perniagaan sewa kereta sejak 2011 berkata, individu yang bergaji RM3,000 sebulan tetapi memiliki lapan kereta serentak hanya menikmati keuntungan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

Katanya, pengusaha kereta sewa hanya memajak kenderaan yang berusia sekurang-kurang­nya tiga tahun ke bawah kerana permintaan daripada pelanggan lebih tinggi.

“Pengusaha kereta sewa tidak mahu menanggung kos-kos lain seperti membaiki atau menghantar servis kenderaan tersebut. Mereka berniaga, sudah tentu mahu mengurangkan kos operasi bagi mendapatkan lebih keuntungan,” katanya.

Beliau berkata, akhirnya pembeli kereta menjadi mangsa gagal melunaskan pinjaman bank dan terpaksa menjual kereta tersebut kepada warga asing yang menjalankan perniagaan sewa kereta tidak sah.

“Mereka menjual kenderaan kepada warga asing kerana ingin cepat, malangnya mereka terlupa nama kenderaan itu tidak boleh ditukar kerana warga asing hanya boleh membeli kenderaan baharu di negara ini.

“Sudah tentu warga asing itu tidak akan menyediakan insu­rans malah ada juga tidak membayar cukai jalan, apabila berlaku kemalangan mangsanya adalah pelanggan yang tidak bersalah,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia mendedahkan mengenai seorang pemohon pinjaman kenderaan mampu membeli lapan kereta dalam satu masa dengan gaji bulanan RM3,000.

Kegiatan itu dilakukan de­ngan berpakat bersama jurujual kenderaan yang menghantar borang permohonan pinjaman sewa beli ke beberapa buah bank dan menandatangani secara serentak jika pinjaman diluluskan.