Sehinggakan ada di antaranya, ia tidak ubah seperti medium yang membolehkan masyarakat mengurangkan nilai moral serta budaya timur yang dipupuk selama ini dalam keadaan yang rela.

Sehubungan itu, aplikasi seperti antaranya Tik Tok dan Musically dilihat sebagai satu barah berbahaya untuk generasi ini kerana ramai yang mudah terjangkit dengannya.

Penyakit ‘memperdagangkan’ tubuh badan dan wajah untuk tontonan umum ini bukan sahaja terkena kepada segelintir masyarakat malah melibatkan pihak yang berkhidmat dalam profession yang disegani.

Semalam, Kementerian Pertahanan telah memuat naik satu gambar peringatan kepada seluruh warga Angatan Tentera Malaysia (ATM) untuk tidak berbuat demikian di laman Facebook mereka.

Hal ini kerana ‘kelibat’ segelintir warga ATM yang mengguna aplikasi Tik Tokk serta merakam aksi mereka sewaktu beruniform sememangnya telah lama tular dalam media sosial.

Kegusaran Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) di kementerian berkenaan ada rasionalnya kerana perbuatan tersebut boleh menjejaskan imej perkhidmatan ATM.

Ujar CDOC dalam kenyataan gambar tersebut, warga ATM bertanggungjawab untuk mematuhi tatacara dan kriteria semasa memuat naik kandungan ke dalam media sosial.

“Adalah diingatkan bahawa di bawah Perintah Am ATM Bil 3/2013 : Garis Panduan Media Sosial ATM, warga ATM dilarang menjejaskan imej ATM.

“Setiap kandungan yang dimuat naik ke media sosial seharusnya tidak mempunyai niat (secara sengaja atau tidak sengaja) mengaibkan kumpulan atau individu tertentu serta tidak memuat naik gambar-gambar yang melambangkan anda seorang tentera,” ujar CDOC di laman Facebook kementerian tersebut.

CDOC juga memberikan peringatan tegas yang berbunyi, “Anda bukan artis dan bahan publisiti murahan! Berhenti memalukan diri sendiri dan ATM”.

Perkara sebegini sememangnya harus dipantau dan tindakan mencegah itu adalah lebih baik kerana sebagai masyarakat yang prihatin, usaha untuk mendidik masyarakat yang lain itu perlu ada.

Jangan disebabkan kononnya tidak mengikuti trend semasa, masyarakat dianggap kolot dan orang yang memberikan nasihat itu dimarahi pula oleh mereka yang kononnya maju ke hadapan. – UTUSAN ONLINE