Walaupun sekadar seminit dua, jika tidak kerana klip video itu yang kini dalam siasatan pihak berkuasa, ramai yang tidak pernah tahu bagaimana perbicaraan sebenar berlangsung. Sebelum itu ada sekeping gambar dalam mahkamah juga tular.

Jika anda bukan tertuduh, peguam, pegawai mahkamah, saksi atau wartawan, memang tidak terbayang bagaimana perbicaraan dijalankan kecuali membayangkan babak dalam drama undang-undang popular Hollywood seperti L.A Law, Law & Order, Ally Mcbeal dan banyak lagi.

Liputan media yang dibenarkan adalah berbentuk laporan tanpa visual, bukan sahaja rakaman video bahkan gambar dalam mahkamah sekalipun. Ada tempat duduk untuk orang awam, tetapi siapa sangat yang hendak hadir kalau bukan ahli keluarga defendan.

Umumnya larangan penyiaran prosiding perbicaraan diwarisi dari United Kingdom (UK). Bukan sahaja Malaysia tetapi kebanyakan negara. Di UK, peruntukan yang melarang rakaman perbicaraan disebut dalam Seksyen 41, Criminal Justice Act 1925 juga Contempt of Court Act 1981.

Apa tujuannya? Banyak sebab antaranya untuk memberi keadilan kepada tertuduh bagi mengelakkan perbicaraan melalui media, selain melindungi saksi. Ingat, bukan semua saksi mampu berdepan tekanan apabila berdepan liputan meluas media.

Pada masa sama, peruntukan ini juga bagi melindungi kebebasan badan kehakiman, soal prinsip subjudis. Sebab itu, laporan dalam bentuk penulisan oleh wartawan juga harus tepat bagi mengelakkan prosiding menghina mahkamah. Tiada elemen sensasi.

Dalam peredaran masa, apakah hal ini diterima seadanya? Tentunya tidak. UK sebagai contoh, beberapa stesen televisyen utamanya pada 2012 meminta undang-undang dipinda untuk memberi hak menyiarkan prosiding dan kempen mereka itu akhirnya diberi sedikit ruang di peringkat kes rayuan.

Di Amerika Syarikat (AS), aspek kebebasan akhbar yang menjadi antara tunjang demokrasi sering dijadikan hujah untuk membuat liputan prosiding perbicaraan biar pun ada suara menuntut hak individu turut diberi perhatian.

Dalam sejarah, dua kes jenayah yang paling diingati dapat disaksikan di kaca televisyen iaitu perbicaraan dua bekas atlet ternama iaitu OJ Simpson di Amerika Syarikat pada 90-an dan atlet olahraga Afrika Selatan, Oscar Pistorius pada 2014.

Perbicaraan Pistorius yang dituduh kesalahan membunuh adalah yang pertama di negara itu disiarkan di televisyen dan radio. Hakim yang membenarkan perkara itu berhujah bahawa inilah peluang mahkamah memperbetulkan persepsi salah terhadap institusi kehakiman menerusi prinsip ‘open justice’ atau keadilan terbuka.

Di Malaysia, terdapat ura-ura untuk membenarkan kes perbicaraan Najib menjadi yang pertama disiarkan di televisyen dan media namun hal itu tidak menjadi kenyataan walaupun pihak pembela tidak membantah.

Sehinggalah rakaman klip video CCTV itu tular dan ini bidang kuasa pihak berkuasa untuk menyiasat kerana terdapat kenyataan pihak mahkamah yang tidak membenarkan rakaman perbicaraan kes berkenaan.

Namun secara umumnya, mungkin masanya kerajaan menimbangkan konsep ‘open justice’ iaitu bukan sahaja liputan secara bertulis bahkan termasuk visual dan audio. Kepentingannya juga kepada awam untuk memahami perjalanan undang-undang. Jika tidak semua kes, mungkin bagi kes-kes berprofil tinggi. Juga dilakukan dengan panduan mahkamah, pastinya supaya matlamat yang lebih penting iaitu keadilan untuk semua dicapai.

Satu pandangan dalam Malaysia baharu. - UTUSAN ONLINE