Hari ini, 22 lagi anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas 24 anggota agensi itu ditahan reman Rabu lalu kerana didakwa menerima rasuah bagi melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan.

Difahamkan, selepas lebih 40 anggota penguat kuasa dipanggil dan ditahan oleh SPRM, dalam masa terdekat ini, lebih 20 lagi akan turut dipanggil bagi membantu siasatan kes rasuah itu.

Ada wargamaya yang menyifatkan tangkapan besar-besaran oleh SPRM terhadap anggota JPJ itu adalah usaha untuk menjatuhkan orang Melayu yang bertugas di dalam agensi berkenaan.

Perlu diingatkan perlakuan menerima rasuah sebegini bukan sesuatu yang boleh dibanggakan atau dikaitkan dengan usaha untuk memalukan sesuatu bangsa.

Anggota penguat kuasa JPJ telah diberi tugas dan amanah untuk melindungi pengguna jalan raya daripada lori-lori yang membawa lebih muatan sehingga membahayakan pengguna.

Namun, daripada bertanggungjawab menjadi pelindung kepada pengguna jalan raya, anggota penguat kuasa JPJ itu pula bertindak melawan arus dengan melindungi pengendali lori pula.

Adilkah sikap sebegitu untuk masyarakat yang selama ini mengharapkan mereka, namun sebenarnya ditipu akibat perangai anggota penguat kuasa yang menjadi gelap mata dikaburi wang.

Jumlah rasuah yang diterima mereka pula bukan sedikit, malah dikatakan bayaran bulanan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan diterima dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah itu sudah melebihi RM140,000.

Sudah sampai masanya JPJ Pulau Pinang dibersihkan daripada anasir rasuah sebegini dan pengguna jalan raya dilindungi seperti mana tugas asal anggota penguat kuasa berkenaan.

Selain anggota penguat kuasa itu dihadapkan ke mahkamah kerana ketamakan mereka, SPRM juga diharapkan agar dapat membawa 'jerung-jeruk besar' iaitu pemilik-pemilik syarikat lori yang memberi rasuah itu ke muka pengadilan.

Masyarakat mahu melihat si pemberi dan penerima rasuah itu menerima hukuman setimpal atas kelakuan mereka, kalau di China mereka yang terlibat rasuah akan dijatuhi hukuman mati. - UTUSAN ONLINE