Malah, Murid Berkeperluan Khas (MBK) itu bukan sahaja mampu berdikari, bahkan berupaya meneruskan hidup apabila dewasa nanti untuk menempuh alam kerjaya.

Bagi Penolong Ka­nan Pentadbiran SMPKV Shah Alam, Khairul Anuar Suhib, seramai 207 pelajar yang mendapat pendidikan dalam aliran vokasional itu mempunyai keupayaan tersendiri dalam program atau kursus yang diambil di sekolah.

207 pelajar itu terdiri daripada mereka yang mengalami masalah pembelajaran (101), pendengaran (97), pembelajaran dan pendengaran (6) dan seorang MBK kurang upaya fizikal.

Katanya, mereka yang dihantar di SMPKV akan menjalani tempoh percubaan tidak melebihi tiga bulan, tetapi majoriti MBK yang datang mudah serasi dengan persekitaran serta pembelajaran di sekolah.

“Ini kerana di sekolah, mereka akan menjalani 60 peratus latihan kemahiran dan 40 peratus akademik. Apabila menjalani latihan kemahiran, mereka mendapat bimbi­ngan dan perhatian sepenuhnya guru-guru daripada Pembantu Pengurusan Murid (PPM).

“Proses pengajaran dan pem­belajaran (PdP) akan dibuat secara individu kerana penum­puan khas diberi kepada setiap MBK. Malah, guru-guru yang membimbing mereka memiliki tahap kemahiran yang lebih tinggi daripada MBK,” katanya.

Menurut Khairul Anuar, sebanyak 10 kursus yang ditawarkan kepada MBK iaitu pembuatan pakaian wanita, Perisian Penerbitan Atas Meja (Desktop Publishing), pendandan rambut, peralatan dan penyamanan udara serta pemasangan dan penyelenggaraan elektrik.

Lima lagi kursus ditawarkan ialah pembuatan batik, pembuatan perabot, operasi pengemasan, penyediaan dan pembuatan makanan serta penyelenggaraan motosikal.

Oleh itu, beliau berkata, ibu bapa yang mempunyai anak OKU perlu merebut peluang sedia ada dengan menghantar anak mereka mendapat pendidikan sewajarnya demi masa depan golongan terbabit.

Jelasnya, MBK tersebut bukan sahaja mendapat pendidikan secara percuma, malah elaun berjumlah RM150 sebulan juga disediakan bagi membolehkan mereka membeli keperluan peribadi seperti kasut dan cadar.

“Ibu bapa seharusnya me­rebut peluang ini kebanyakan MBK kita telah ramai berjaya dalam bidang masing-masing dan berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di tujuh politeknik yang merupakan rakan kerjasama kita.

“Tahun lalu, seramai 25 MBK daripada SMPKV Shah Alam berjaya melanjutkan pelajaran ke politeknik dan kesemua mereka diberikan sijil berhenti sekolah awal berikutan pusat pengajian tersebut melakukan pengambilan segera,” ujarnya.