Begitulah nasib yang menimpa seorang nenek di Kuala Sanglang di sini, apabila dua anak dan dua menantunya terlibat dengan najis dadah hingga meringkuk dalam penjara.

Berikutan itu, walaupun serba kekurangan tetapi digagahkan juga untuk menyara lima cucunya bersendirian dengan tulang empat kerat dalam keadaan miskin.

Nenek berusia 55 tahun itu ketika ditemui mengakui, sekalipun bersyukur kerana menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan, namun belum cukup untuk menampung keperluan mereka.

“Cucu saya yang berusia antara 15 bulan sehingga tujuh tahun ini termasuk seorang daripadanya cucu angkat (dua tahun) masih memerlukan susu untuk membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Kisah sedih keluarga itu dibongkar Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri setelah menahan sepasang suami isteri kerana positif dadah dalam Op Perdana di sekitar Kuala Perlis, Simpang Empat dan juga Arau, selama tiga hari yang berakhir kelmarin. - UTUSAN ONLINE