Penternak kambing, Zabidah Mat, 50, berkata, anak kambing itu yang umurnya tidak sampai tiga hari, mati selepas mengalami kesukaran bernafas kerana tiada hidung dan mempunyai satu mata.

Katanya, dia sudah menyangka perkara itu berlaku kerana anak kam­bing itu hanya bernafas melalui mulut.

“Kira-kira pukul 6.30 petang semalam anak kambing ini mati selepas setengah jam diberi susu.

“Keadaannya begitu lemah dan tidak boleh bergerak walaupun diletakkan bersama ibunya di dalam kandang,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, ibu kambing itu melahirkan sepasang kembar jantan dan betina dengan kedua-dua mempunyai satu mata di tengah kepala serta tidak mempunyai hidung.

Walau bagaimanapun, anak kam­bing jantan mati selepas beberapa jam dilahirkan.

Menurut Zabidah, sejak tersebar cerita mengenai haiwan unik itu Jumaat lalu, rumahnya tidak putus-putus dikunjungi penduduk kampung untuk melihat anak kambing bermata satu itu.

Sementara itu katanya, dia kini memelihara 35 ekor kambing dan boleh dikatakan setiap minggu beberapa ibu kambing melahirkan anak.

“Namun, kelahiran salah seekor kambing pada kali ini agak pelik apabila ibu kambing itu lari ke dalam hutan di belakang rumah untuk beranak.

“Kami terdengar bunyi kambing mengembek agak kuat dari arah belakang rumah dan cuba mengesannya.

“Kami terkejut apabila melihat ibu kambing itu berada dalam keadaan lemah dan cuba menyembunyikan wajah kedua-dua anaknya di celah-celah daun,” katanya.