Muhammad Syauqi Md. Sham, 17, dari Sekolah Menengah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Assyakirin, Selandar, mendapat semua A dalam sembilan mata pelajaran yang didudukinya.

Menurutnya, dia berazam untuk mencatat keputusan cemerlang dengan niat mahu mengubah nasib keluarga terutama membalas jasa ibu bapanya, Md. Sham Minhat, 53, dan Rohani Mohd., 51, yang telah banyak berkorban dalam menyediakan pendidikan terbaik kepadanya.

“Saya amat bersyukur dengan kejayaan ini yang diperolehi daripada usaha keras diiringi doa ibu bapa serta guru-guru tanpa pernah rasa penat.

“Kejayaan ini diharap dapat memberi kegembiraan kepada mereka dan jika diberi peluang, saya akan meneruskan kejayaan sama di peringkat lebih tinggi kelak,” katanya.

Dia ditemui selepas majlis pe­ngumuman keputusan SPM 2016 bagi sekolah-sekolah Melaka di sini, hari ini.

Muhammad Syauqi yang turut menghidap resdung yang agak serius berkata, dia sering berdepan tekanan untuk mengulang kaji pelajaran setiap penyakitnya datang.

“Penyakit yang saya hidapi sejak di bangku sekolah rendah ini memerlukan pengawasan rapi malah saya mengambil ubat sebanyak dua kali sehari untuk mengawalnya.

“Ketika di tahun enam dahulu, saya pernah tidak hadir ke sekolah selama 60 hari disebabkan resdung namun saya tetap fokus terhadap pelajaran dan berjaya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Jelasnya yang berhasrat me­lanjutkan pengajian dalam bidang syariah, antara amalan yang dilakukannya adalah mentelaah pelajaran sebelum solat Subuh dan melakukan ulang kaji serta latihan selepas waktu persekolahan.