Anaknya, Mohd. Izwan Is­mail, 33, berkata, pesanan ter­akhir Allahyarham sentiasa ter­ngiang-ngiang di telinga dan menjadi pembakar semangat untuk dia dan tujuh adik-beradik lain bagi memajukan perniagaan keluarga tersebut.

“Dalam keadaan lemah, ar­wah ayah pesan, jaga molek ki­lang budu kita ini. Biar berterusan sampai ke cucu-cicit. Kami nekad akan turuti pesanan ayah dan pastikan Budu Cap Ketereh terus berkembang ma­ju,” katanya ketika ditemui pem­berita di sini hari ini.

Ismail, 69, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu pada pukul 8.05 malam semalam. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketil, di sini pada pukul 7.30 pagi ini.

Kata Mohd. Izwan, bapanya dimasukkan ke HUSM sejak 8 Disember lalu disebabkan me­ngalami tekanan darah rendah.

“Keadaannya semakin le­mah selepas itu dan selepas pe­meriksaan lanjut doktor me­ngesahkan ayah menghidap kanser darah tetapi masih di peringkat awal. Awal Januari lalu ayah menjalani kemoterapi namun keadaannya semakin lemah dari sehari ke sehari,” katanya.

Allahyarham meninggalkan isteri, Kamariah Husien, 65, dan lapan anak.

Budu Cap Ketereh yang diasaskan Ismail kira-kira 40 tahun lalu kini menembusi pasaran luar negara.