Anak keduanya, Shahril Reza Shaheen, 36, berkata, sepanjang 13 tahun bekerja di bawah syarikat ibunya, Maznah banyak memberi tunjuk ajar mengenai selok belok perniagaan kepada anak-anaknya.

“Alhamdulillah, sejak kecil ibu dan ayah sentiasa berkongsi ilmu termasuk ilmu perniagaan dengan kami adik beradik. Saya percaya ibu tidak mahu kami mensia-siakan usahanya selama ini.

“Dengan ilmu yang ada, saya dan adik beradik yang lain berazam untuk meneruskan legasi ibu malah mengembangkan lagi cabang perniagaan yang telah ibu mulakan,” katanya kepada pemberita selepas upacara pengebumian ibunya di sini, hari ini.

Jenazah Maznah yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn. Bhd. yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih pada pukul 5.30 petang di sini, hari ini.

Allahyarhamah meninggalkan suami, Datuk Shaheen Mirza Habib dan lima cahaya mata iaitu Datin Nur Sharmila, 37; Shahril Reza, 36; Nurul Shameem, 32; Mohamad Shafiq Azim, 28 dan Mazreen Shanim, 24 serta lapan cucu.

Kata Shahril Reza lagi, ibunya seorang yang penyayang dan sentiasa mengutamakan keluarga.

Menurutnya, meskipun selalu sibuk, ibunya sangat mengambil berat terhadap keluarga, anak dan cucu-cucunya.

“Arwah selalu ke luar negara atas urusan kerja dan sekiranya ada di rumah, arwah akan menyuruh kami anak beranak membawa cucu-cucunya untuk datang meluangkan masa bersama beliau.

“Pesanan terakhir arwah kepada kami adalah supaya hubungan kekeluargaan yang rapat ini tidak akan terlerai dan kami bersyukur kerana semasa beliau menghembuskan nafas yang terakhir, kami sekeluarga ada di sampingnya,” katanya.

Dalam pada itu, Shaheen Mirza, 66, berkata, pada mulanya mereka beranggapan arwah menghidap penyakit radang paru-paru kerana peringkat awal doktor tidak dapat mengesan masalah jantung yang dihidapi.

“Arwah sering mengadu penat dan sakit dada selepas habis program-programnya tetapi tidak menyangka beliau ada masalah injap jantung sehingga disahkan doktor baru-baru ini.

“Kami kehilangan isteri, ibu, nenek yang sangat penyayang dan negara kehilangan seorang permata. Beliau baru berumur 62 tahun, kami tidak sangka arwah akan pergi secepat itu tetapi kami reda,” katanya.