Beliau berkata, betapa mudahnya kekeliruan dicetuskan bagi memberikan gambaran buruk dan tidak menyenangkan melalui paparan rakaman kerja pemeriksaan enjin dilakukan dengan memberikan gambaran kononnya bas itu dalam keadaan tidak baik.

"Semalam, diviralkan gambar yang sedang lakukan pemeriksaan enjin. Ada yang kata rosak dan tak larat. Ini perlu diperbetulkan kerana satu fitnah.

"Apa kita buat ini untuk pelancongan dan kepentingan rakyat. Walaupun pelaburan besar tapi akhirnya rakyat dan negeri ini juga dapat manfaat," katanya tentang bas itu yang mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Terengganu di Duyong Marina & Resort, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Azman Abu Bakar yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya; Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar dan Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Nur Zahirah, Mohamad Nor Endut.

Ahmad Razif seterusnya menyeru semua pihak agar sentiasa mempunyai persepsi positif terhadap usaha serta langkah kerajaan atas kepentingan rakyat serta menyemarakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri yang memberi tumpuan terhadap industri pelancongan.

Menurutnya, kenderaan itu yang dibeli dengan harga RM3 juta untuk keperluan pelancongan negeri dijangka mula beroperasi sejurus selesai proses serta urusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut.

"Kita kena tunggu dulu bila akan mula operasi kerana ini pertama kali kenderaan sebegini ada di Malaysia, kita sedang teliti dan perhalusi perkara ini," katanya. - UTUSAN ONLINE