Walaupun berperwatakan sopan dan ceria, jelas menunjukkan Amirah tidak menoleh ke belakang lagi dan kini bersedia untuk melangkah lebih jauh menggunakan bakat dimiliki dalam industri muzik tempatan. 
Wartawan Mingguan Malaysia, FARHANA JONI berkesempatan menemubual dengan pemain dram cilik yang berasal dari Pulau Pinang ini baru-baru ini bagi mengetahui hala tuju, perancangan serta harapan masa depan Amirah.

 

MINGGUAN: Setelah menjadi juara dalam pertandingan Astro Ceria All Star baru-baru ini, apakah perubahan ketara dalam hidup Amirah? Adakah adik telah bersedia fizikal dan mental untuk menghadapi perubahan tersebut?

NUR AMIRAH SYAHIRA: Alhamdulillah, selepas menjadi juara, saya lebih dikenali dan dapat banyak jemputan ke majlis serta ramai kawan baharu. Justeru, memang saya perlu belajar menyesuaikan diri dengan semua keadaan terutama apabila berdepan dengan semua peminat. Bagi saya, peminat atau fan merupakan golongan yang paling istimewa kerana mereka sentiasa mendorong saya untuk lebih berjaya.

Apakah yang dilakukan dengan hadiah wang tunai RM15,000. Bercuti, menyimpan, memberinya kepada kedua ibu bapa adik atau lain-lain? Adakah memang itu hasrat sejak sekian lama?

Sejujurnya saya sangat bersyukur dengan hadiah wang tunai RM15,000 itu. Sudah tentu wang itu saya guna untuk membantu keluarga terutama mama dan abah yang selama ini telah bersusah payah memberikan sokongan atas minat saya dalam bermain dram.

Selain itu, saya juga ada menyumbang sedikit untuk rumah anak-anak yatim dan bakinya saya membuat simpanan untuk kegunaan keperluan pelajaran pada masa depan.

Perempuan dan dram. Masih kedengaran asing di negara ini. Apakah yang membuatkan awak berminat dalam alat muzik ini dan apakah sumber inspirasi?

Pemain dram wanita sangat kurang bukan sahaja di Malaysia malahan di serata dunia sangat sedikit bilangan pemain dram wanita terutama yang mampu menjadi pemain dram bertaraf antarabangsa.

Saya mengambil peluang ini untuk meletakkan nama saya sebaris dengan pemain-pemain dram wanita antarabangsa. Selain itu, sudah tentu saya mahu membanggakan mama dan abah serta nama Malaysia.

Bagi memastikan kerjaya anda terus berkembang maju, adakah awak mempunyai perancangan untuk bekerjasama dengan mana-mana komposer tempatan dan menghasilkan lagu sendiri?

Insya-Allah dalam perancangan, saya akan menerbitkan album lagu single dan menerbitkan album instrumental dram. Cuma saya masih belum berpeluang kerana tidak cukup pengalaman untuk menerbitkan album sendiri.

Sudah tentu saya sangat mengharap untuk menjalin kerjasama dengan komposer-komposer hebat tanah air.

Walaupun masih muda, di manakah anda nampak perjuangan awak dalam bidang muzik ini kelak? Adakah menjadi seperti Datuk Siti Nurhaliza atau Yuna?

Bagi saya, bermain dram mampu membangkitkan dan segarkan semula lagu-lagu lama terutama yang pernah menjadi siulan ramai satu masa dulu selain dapat membantu industri muzik dengan memainkan semula lagu-lagu yang pernah menjadi fenomena satu masa dulu untuk terus diingati ramai.

Saya akan terus belajar semuanya tentang dram, menguasai semua teknik-teknik bermain dram dengan betul dan matlamat saya ialah supaya pemain dram bukanlah sentiasa dipandang hanya berada di belakang setiap kali persembahan pentas.

Saya sangat bangga dengan Datuk Siti Nurhaliza dan Yuna kerana mereka telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Menjadi harapan dan impian saya untuk menjadi seperti mereka berdua.

Apakah perancangan adik untuk tahun ini dan masa akan datang bagi memastikan bidang kerjaya serta pelajaran tetap seiring dengan hasil yang cemerlang?

Saya akan memastikan minat bermain dram dan pelajaran akan seimbang kerana bagi saya kedua-duanya sangat penting untuk masa depan saya.

Alhamdulillah saya mampu menukarkan hobi bermain dram ini menjadi sumber pendapatan.

Lebih membanggakan saya apabila video drum cover yang diupload di Youtube turut mendapat bayaran melalui Google Adsense dalam bayaran dollar (Amerika Syarikat).

Pendapatan ini akan sentiasa berterusan selagi saya rajin berusaha membuat video dan menggunakan hasil tersebut untuk membeli buku-buku dan mengambil kelas belajar dram secara online. Insya-Allah jika ada rezeki pada masa depan, saya akan membuka sebuah Drum High School di Malaysia.