Selaku Tokoh Maal Hijrah negeri, Ambrin, 69, menerima wang tunai RM20,000, trofi, sijil penghargaan dan pakej menunaikan umrah yang disampaikan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah.

Pengerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kassim, berkata penganugerahan kepada Ambrin diberikan atas sumbangan serta jasa beliau dalam pembangunan organisasi dan pentadbiran.

Katanya, walaupun sudah bersara dalam perkhidmatan awam, Ambrin kekal aktif memberikan pandangan dan dijadikan rujukan oleh pelbagai agensi, terutamanya membabitkan aspek pentadbiran dan integriti.

Sementara itu, Ambrin ketika ditemui berkata, beliau bersyukur atas penganugerahan yang diberikan kepadanya dan berterima kasih kepada kerajaan Selangor serta JAIS atas anugerah terbabit.

“Ini adalah satu pengiktirafan buat diri saya, saya amat bersyukur dan anugerah ini juga merupaka satu peringatan kepada saya dan umat Islam keseluruhannya agar sedaya upaya menjiwai ajaran Islam.

“Kita kena banyak istiqamah dan berusaha mengatasi kelemahan yang ada,” katanya.

Yang turut hadir Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad; Menteri Besar, Amirudin Shari; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahya.

Selain Tokoh Maal Hijrah, beberapa anugerah lain turut diberikan antaranya kepada Daniel Hakim Boey Abdullah (Tokoh Saudara Kita), Abdul Aziz Abu Bakar (Tokoh Aktivis Masyarakat), Mohd. Salleh Ashaari dan Ruslawati Mat Isa (Tokoh Keluarga Mithali) serta Aman Palestin (Anugerah Pertubuhan Dakwah Sukarela).

Kesemua mereka menerima wang tunai berjumlah RM10,000, sijil penghargaan, trofi dan pakej menunaikan umrah serta buku ilmiah. - UTUSAN ONLINE