Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Krishnan berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap ejen-ejen yang bertanggungjawab menyebarkan iklan pekerjaan tersebut dalam laman media sosial.

“Ini tanggungjawab pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap ejen-ejen yang menyebarkan iklan palsu dalam media sosial.

“Perkara seperti ini merupakan pengajaran kepada rakyat terutamanya golongan belia yang tertarik dengan keuntungan segera dan janji manis pihak tertentu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia yang mendedahkan penindasan terhadap rakyat Malaysia yang tertarik dengan iklan kerja memetik buah di Australia sambil menjanjikan gaji yang lumayan tetapi hakikatnya mereka bekerja secara haram malah hidup dalam penuh ketakutan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, program khusus perlu dilaksanakan bagi memantau situasi pekerja Malaysia supaya mereka dilindungi daripada teraniaya semasa bekerja di luar negara.

Katanya, program ini perlu dilaksanakan bagi memantau gerak-geri pekerja dan melindungi mereka daripada dieksploitasi sekali gus status akan lebih terjamin apabila bekerja di luar negara.

“Malah pihak kerajaan harus menggunakan pendekatan diplomatik dalam membantu pekerja tempatan pulang dengan segera supaya mereka tidak terus hidup dalam keadaan sengsara,” katanya.