Presiden Peka, Datuk Zuhairi Ab. Kadir berkata, sikap tidak bertanggungjawab segelintir majikan yang tidak mahu memperbaharui permit kerja menyebabkan pekerja asing menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Mereka (pekerja asing) ini bukannya tahu berhubung undang-undang, hanya majikan yang berhak perbaharui permit mereka. Kalau majikan tidak buat bagaimana nasib mereka?

"Peka menerima banyak aduan berhubung tindakan majikan yang menjadikan pekerja asing sebagai buruh paksa. Mereka ini kerja atas permintaan dan selepas itu dianiaya oleh majikan," katanya dalam kenyatan di sini hari ini.

Zuhairi berkata, akibat dianiaya, keluarga pekerja asing terbabit tidak dapat membantu bagi menuntut hak mereka iaitu gaji dan sewajarnya majikan yang bertindak sedemikian didakwa di bawah akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Jelasnya, Peka beranggapan, sudah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan tegas berhubung perkara itu kerana pekerja asing yang bekerja di negara ini juga manusia biasa yang perlu mendapat pembelaan apabila ditindas.

"Lihat saja kejadian seperti yang tular di laman media sosial Facebook sejak semalam yang memaparkan seorang pekerja asing terpaksa makan nasi berkuahkan air kosong. Bukan saja gaji ditangguh malah kebajikan mereka juga tidak dijaga.

"Peka akan bantu mengheret ke muka pengadilan majikan yang berbuat demikian, ini kerana ada antara majikan yang menipu pekerja dengan cara meminta pekerja menyiapkan projek dan apabila sampai masanya membuat laporan meminta pekerja asing ditangkap dan selepas itu majikan terbabit bertindak lepas tangan tanpa membayar gaji," katanya.

Menurutnya, majikan terbabit bijak apabila hanya perlu membayar kompaun menggajikan pekerja asing iaitu tidak lebih RM10,000 seorang sedangkan gaji yang sepatutnya dibayar mencecah jutaan ringgit tetapi mereka hanya membayar denda yang boleh dirayu seminimum mungkin. - UTUSAN ONLINE