Rania berkata, menjadi diri sendiri (lelaki lembut) bukan mudah kerana hampir setiap hari dia berdepan kecaman dan ejekan orang sekeliling.

“Lebih mengecewakan apabila keluarga sendiri seakan malu, lantas bertindak memulaukan saya. Hanya ibu memahami dan menjadi tempat saya mengadu.

“Ayah pula seorang yang tegas. Dia malu dengan perwatakan saya sehingga ada satu masa enggan mengaku saya anaknya,” kata Rania.

Rania yang kini bekerja di sebuah syarikat pengiklanan mengakui mula mengambil pil hormon wanita sejak berusia 19 tahun. Katanya, dia tidak sedikit pun kesal dengan tindakan itu, malah gembira kerana pada usia muda, dia sudah bebas membuat keputusan sendiri.

“Ketika itu, saya nekad untuk menjadi perempuan. Kedua orang tua saya mungkin sudah berputus asa, lantas membiarkan saya membuat keputusan sendiri.

“Disebabkan tidak berpuas hati dengan fizikal yang dimiliki, saya nekad membuat pembedahan untuk membesarkan payudara,” katanya.

Rania berkata, dia kini gembira kerana hasrat untuk menjadi wanita sudah tercapai.

Katanya, orang sekeliling menerima seadanya, begitu juga keluarga. “Ada yang tidak menyangka saya dahulu adalah seorang lelaki. Mungkin kerana rupa paras dan bentuk fizikal saya yang mirip seorang perempuan.

“Kini, saya gembira menjadi diri sendiri. Tidak sekali pun merasa menyesal, malah lebih bahagia dengan kehidupan sebagai seorang transgender,” ujarnya.

Berdepan dilema seperti Rania, Jay (bukan nama sebenar) turut mengalami krisis identiti sejak usia belasan tahun. Dilahirkan sebagai perempuan, Jay memberitahu pengaruh rakan-rakan menjadi faktor mengapa dia berubah menjadi seorang pengkid.

“Saya asalnya memang seorang yang berjiwa kasar seperti lelaki. Tetapi tidak pernah terfikir untuk menyimpan perasaan terhadap kaum sejenis.

“Sehinggalah pada usia 23 tahun, ketika menuntut di sebuah kolej swasta di ibu kota, saya bertemu rakan-rakan baharu yang berpewatakan seperti saya. Bermula saat itu, keinginan untuk menjadi lelaki dan menyintai perempuan mula timbul,” katanya.

Jay bercerita lanjut, dia berusaha keras untuk kelihatan seperti lelaki termasuk potongan rambut dan bentuk fizikal.

“Sebolehnya, saya akan sembunyikan ciri-ciri kewanitaan. Saya akan berjalan seperti lelaki dan memakai pakaian lebih besar untuk menutup fizikal sebenar.

“Saya gembira kerana ada insan lain berdepan situasi sama. Jadi, saya tidak keseorangan dalam hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Jay turut mendedahkan tidak gentar untuk menjalani proses lebih ekstrem asalkan dapat kelihatan seperti lelaki sejati.

“Saya tidak kisah jika perlu ambil hormon lelaki asalkan kelihatan lebih maskulin. Sekarang ini, macam-macam cara boleh diambil asalkan ada keberanian untuk membuat perubahan,” tambahnya.