Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dr. Mohamed Hatta Sha­harom berkata, sekiranya UEC dilaksanakan, kerajaan perlu memastikan kedaulatan bahasa Melayu tidak tergugat dan terus dimartabatkan sebagai bahasa utama di negara ini.

Tegasnya, keputusan mengenai UEC juga perlu dibuat berdasarkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 50) yang menyatakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan negara.

“DBP menyokong kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik agar kajian menyeluruh dan holistik berkaitan pelaksa­naan UEC perlu dilaksanakan, dan DBP mahu terlibat dalam kajian tersebut.

“Kajian yang rapi perlu dijalankan dan selepas itu DBP akan membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangan pelaksanaan UEC,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas majlis Ramah Mesra Bersama Media di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas serta Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sal­lehuddin Abg Shoekeran.

Tambah Mohamed Hatta, kajian itu juga perlu mengambil ki­ra Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang memperuntukkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi. 

“Kementerian Pendidikan juga perlu menyemak kurikulum UEC terutama bagi subjek teras se­perti Bahasa Melayu serta Sejarah sebelum membuat keputusan mengiktirafnya.

“Semakan silibus mata pelajaran harus menjadi sebahagian daripada kajian yang dilakukan kementerian dan semakan perlu dilakukan bagi memastikan sukatan pelajaran Bahasa Melayu UEC sama taraf dengan sukatan yang diajar di sekolah kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mohamed Hatta menjelaskan, DBP akan berusaha memujuk Datuk A. Samad Said untuk kembali ke agensi tersebut walaupun Sasterawan Negara itu telah membuat keputusan untuk menolak pelawaan itu.

“Seperti dilaporkan semalam, beliau (A. Samad) kata sudah terlambat tetapi kita tidak berputus asa sebaliknya masih terus berhubung dengannya.

“Malah kita juga sedang me­nunggu isyarat untuk ke rumah beliau, jika okey kita akan terus pergi dan berbincang,” katanya.