Mohd. Yusof Ahmad

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, teguran itu sangat tepat kerana pelaksanaan penguatkuasaan peraturan untuk melindungi Islam seharusnya dilakukan secara bersederhana dan tidak berlebihan sehingga menimbulkan kemudaratan kepada orang lain.

“Dalam ajaran Islam sendiri menolak kekerasan dan menggariskan sebaik-baik cara untuk menegakkan atau melindungi agama adalah secara lembut, bersopan dan masih mengamalkan nilai-nilai positif.

“Berlembut tidak semestinya menunjukkan kita lemah atau lembik, tetapi me­nunjukkan betapa kita berhemah kerana dalam kelembutan masih ada ketegasan terhadap syiar-syi­ar Islam yang ingin ditegakkan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, sewaktu sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Ipoh, Perak, Sultan Nazrin menegur individu serta pendirian institusi tertentu yang bertindak keterlaluan atas nama mahu menguatkuasakan peraturan me­lindungi Islam sehingga menjejaskan imej agama.

Mohamad Shukri Mohamad
Mohamad Shukri Mohamad

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengakui apa yang dititahkan oleh Sultan Nazrin adalah tepat kerana Islam tidak pernah dite­gakkan dengan kekerasan atau kezaliman terhadap umat manusia lain.

Katanya, penguatkuasaan ha­ruslah berteraskan cara dan ka­edah yang diguna pakai oleh Rasulullah yang tidak mengamalkan unsur-unsur penindasan.

“Rasulullah menyebarkan Islam dari Madinah hingga ke seluruh pelosok dunia secara lembut, berhemah dan bijaksana sehingga mampu membuka mata ramai orang terhadap agama Islam sebagai agama yang baik.

“Kekerasan pada ketika itu hanya berlaku ketika berperang, itupun musuh Islam tidak di­bunuh sewenang-wenangnya, ke­cuali jika keadaan benar-benar mendesak,” ujarnya.

Mohamad Shukri juga berkata, untuk memastikan setiap perlaksanaan menguatkuasakan Islam itu telus, individu atau insitusi itu haruslah ikhlas menegakkan agama dan tidak melibatkan emosi atau isu peribadi ketika menjalankan tugas sehingga mempengaruhi akal fikiran.