Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang bersimpati dengan kejadian tersebut bertitah, aspek ke­selamatan dan pengawasan anak-anak yang belajar di pusat tahfiz serta asrama penuh perlu diberi penekanan penting.

“Kalau boleh saya hendak me­nyarankan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya pergi berjumpa (pusat tahfiz) dan memberikan nasihat supaya perkara seperti yang berlaku terhadap Mohamad Thaqif Amin tidak berulang.

“Kita tidak boleh tunggu sesuatu kejadian berlaku dan baharu kita mahu memberikan keseda­ran,” titah baginda ketika ditemui pemberita pada Majlis Graduasi Kedua Kelas Belajar al-Quran as-Sharif di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengasas dan Penaja Kedua Kelas Belajar al-Quran as-Sharif, Datuk Seri Md. Shariff Shamsuddin.

Kisah Allahyarham Mohamad Thaqif Amin, 11, menjadi tular dalam media sosial selepas meng­alami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lalu dipercayai akibat dipukul seorang pembantu warden di sebuah pusat madrasah tahfiz di Kampung Lukut, Kota Tinggi.

Anak ketiga daripada lima beradik itu meninggal dunia pukul 2.05 petang Rabu lalu ketika mendapatkan rawatan di Wad Dependensi Tinggi Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Tengku Abdullah bertitah, soal keselamatan pelajar di pusat tahfiz adalah perkara yang tidak boleh dikompromi dan diambil mudah.

“Kita (pengasas pusat tahfiz) mengambil anak-anak muda untuk belajar, jadi kita perlu bertanggungjawab kepada keselamatan mereka. Kita tidak mahu kejadian seperti kebakaran atau kes salah pukul berlaku,” titah baginda.

Pemangku Raja Pahang bertitah, untuk negeri ini baginda telah menyatakan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bahawa perlu ada kriteria dan ke­perluan daripada segi keselamatan pelajar di pusat tahfiz.

“Keselamatan merangkumi tempat tinggal dan dari segi kurikulum dan silibus, perlu seiring dengan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang sudah menjadi penanda aras kepada sistem pembelajaran di negeri ini dan prestasi MTNP setiap tahun juga antara yang terbaik dalam negara,” titah baginda.