Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut berjanji akan menyokong jika pentadbiran Menteri Besar, Datuk Osman Sapian melaksanakan perkara itu kerana perancangan pengambilalihan SAJ Ranhill telah dibuat pihaknya ketika mentadbir Johor sebelum ini.

Walau bagaimanapun, usaha itu tidak dapat dilaksanakan apabila Barisan Nasional (BN) gagal mentadbir semula negeri ini selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu.

"Cadangan ini saya sarankan berdasarkan beberapa faktor, pertama proses ini sememangnya mampu dilakukan oleh Johor melihat kepada kedudukan kewangan yang kukuh dan jumlah rizab negeri yang tinggi ditinggalkan pentadbiran sebelum ini melebihi RM3 bilion.

"Kedua, dengan pengambilan SAJ Ranhill, kerajaan negeri bukan saja berpeluang memperoleh dividen mencecah RM100 juta setahun, malah berupaya mengawal dan merendah tarif air Johor secara keseluruhannya dengan lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO dan Pengerusi Badan berhubungan UMNO negeri berkata, sekiranya pengambilalihan dilakukan, kerajaan negeri dapat memberikan lebih banyak air percuma kepada golongan sasar dan bukan sekadar 10 meter padu seperti dilakukan sekarang. - UTUSAN ONLINE