Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya menerima dan maklum aduan orang awam berkenaan isu penyewa dan pemilik PPR yang menyewakan unit kediaman PPR mereka kepada pihak lain.

Beliau berkata, secara jelas syarat penyewaan dalam Kontrak Perjanjian Penyewaan Rumah PPR telah tertera klausa yang menetapkan bahawa, penyewa tidak dibenarkan memberi sewa atau melepaskan pemilikan rumah kepada orang lain, sama ada secara penuh (untuk keseluruhan kediaman) ataupun sebahagian daripada kediaman (sewaan bilik).

"Bagi pihak yang telah melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan dan dipersetujui ini, satu Notis Penamatan oleh Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan akan diberikan.

"Di dalam perjanjian penjualan rumah PPR pula, terdapat syarat yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Jual Beli & Surat Akuan Bersumpah  bahawa setiap unit PPR yang dibeli adalah "untuk diduduki oleh pembeli dan tidak akan disewakan kepada orang lain."

"Mereka yang melanggar syarat ditetapkan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda oleh mahkamah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960, sekiranya didapati bersalah," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Zuraida berkata, amaran telah diberikan dan tindakan tegas akan diambil oleh KPKT dalam menangani penyalahgunaan PPR iaitu penyewaan atau penjualan tidak sah, dalam masa terdekat.

"KPKT turut akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang mengiklankan (pengiklan) penjualan atau penyewaan PPR melalui hebahan umum, termasuk melalui portal sewa/beli hartanah ataupun melalui media sosial," katanya.

Menurut Zuraida, maklumat yang sahih dan sah mengenai penyewaan dan pembelian unit kediaman PPR hanya akan dipaparkan di laman sesawang rasmi Jabatan Perumahan Negara KPKT iaitu http://ehome.kpkt.gov.my. - UTUSAN ONLINE