Memegang jawatan terakhir sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Amar Singh antara pegawai kanan polis yang cukup dikenali ramai kerana siasatan ke atas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bukan sahaja kes 1MDB yang kini masih dalam siasatan, Amar Singh juga antara individu yang terlibat dalam menyelesaikan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat yang mengorbankan 23 nyawa dalam masa dua hari sahaja.

Menurut Amar Singh, beliau tidak pernah sedar sudah bertugas selama 35 tahun dalam PDRM kerana tidak menganggap apa yang dilakukan selama itu sebagai satu tugas semata-mata.

“Disebabkan itu saya sentiasa seronok dengan apa yang dilakukan selama ini. Malah, jika diberi pilihan sama ada untuk menjadi polis atau kerja lain selepas ini, saya akan tetap memilih untuk berkhidmat bersama PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim serta pegawai-pegawai kanan lain.