Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Adenan Md. Yusof berkata, program tersebut diwujudkan atas dasar keprihatinan badan itu kepada masyarakat selain bertujuan memupuk nilai murni warga kerja Amanah Raya.

Katanya, langkah sulung Ama­nah Raya itu akan disusuli de­ngan beberapa program kebajikan lain bagi mengumpul dana di bawah tabung khas iaitu ARB-Tabung Amanah Pusat Jagaan Mahmudah.

“Selain mendekati mereka yang tinggal di pusat jagaan ini, seramai 100 warga kerja Ama­nah Raya bersama-sama menjalankan aktiviti gotong-royong membersih­kan kawasan sekitar dan membuat persembahan untuk menghiburkan mereka.

“Ini adalah kali pertama Amanah Raya menjalankan tanggungjawab sosial korporat di luar pejabat dan ia akan menjadi acara tahunan yang dijalankan sekurang-kurangnya empat kali setahun,” ujarnya ketika ditemui dalam program berkenaan di sini.

Dalam majlis itu, Amanah Raya turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 dan menyeru lebih ramai masyarakat tampil memberi sumbangan kewangan kepada tabung tersebut untuk membantu menguruskan pusat jagaan berkenaan.

“Saya menyasarkan sebanyak RM100,000 dapat disumbangkan ke dalam tabung ini untuk tempoh tiga bulan bagi membantu mereka meneruskan operasi selain dapat memberi keselesaan kepada penghuni­nya,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Jagaan Mahmudah, Sazali Mohiden berkata, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM43,000 sebulan bagi menanggung keseluruhan kos untuk 56 penghuni di pusat penjagaan tersebut.

“Ia termasuklah kos operasi, bayaran gaji pekerja dan keperluan asas penghuni seperti makanan, pakaian dan kelengkapan lain,” katanya.