Pengerusi Amanah Antara Kaum negeri, Tan Ah Wang berkata, penubuhan sayap baharu itu bertujuan menarik penyertaan pengundi Cina, Siam dan India.

Jelas Ah Wang, persediaan rapi perlu dilakukan bermula daripada sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) lima tahun mendatang.

“Hari ini kita sasarkan kehadiran seramai 300 orang Cina, Siam dan India dan di Tanah Merah sahaja sudah ada 11 cawangan.

“Kita juga sudah ada bilik operasi Amanah Antara Kaum bagi memudahkan pergerakan kita menambah bilangan keahlian,” katanya.

Beliau ditemui ketika menghadiri Majlis Perasmian Bilik Operasi Amanah Antara Kaum dan Penyerahan Borang Pendaftaran Cawangan, di sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden Amanah, Husam Musa, Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah dan anak kedua Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar. - UTUSAN ONLINE