Nur Amiza Azahari, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, Langkawi yang mendapat semua A bagi subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi dan Ekonomi itu berkata dia mudah mengingati setiap pelajaran yang diulang kajipada waktu berkenaan.

"Pada masa-masa lain, saya banyak luangkan untuk bersama ahli keluarga yang mana selepas pulang dari sekolah saya akan berehat dan bantu ibu buat kerja rumah, manakala pada sebelah malam saya siapkan kerja sekolah dan tidur awal.

Apabila saya bangun jam 3 pagi, saya akan bercakap seorang diri seolah-olah cakap semula apa yang cikgu ajarkan dan di sekolah saya akan beri fokus sepenuhnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan STPM 2017 peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra dekat sini hari ini.

Pengarah Pendidikan Kedah Datuk Azuyah Hassan membuat pengumuman itu turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 44 pelajar STPM di negeri ini yang memperoleh keputusan cemerlang 4A.


Nur Amiza yang berhasrat menjadi seorang guru dan menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata dia begitu gembira serta bersyukur mendapat keputusan cemerlang itu kerana dapat membalas pengorbanan bapanya yang hanya bekerja sebagai tukang sapu di sebuah syarikat pembersihan di Langkawi.

"Saya tidak mahu jadikan latar belakang keluarga sebagai alasan untuk tidak berjaya, kerana saya percaya untuk berjaya ia bergantung kepada usaha pelajar itu sendiri dan tidak ditentukan oleh taraf kehidupan seseorang," katanya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu .

Sementara itu, anak peniaga ikan di pelantar ikan di Kampung Sungai Tepa, Langkawi, Nurhayati Yahya, 20, dari sekolah menengah yang sama dengan Nur Amiza itu berkata amalan membaca Surah Al-Waqiah dan Al-Mulk setiap hari merupakan antara faktor kejayaannya hari ini.

Dia yang turut tersenarai sebagai seorang daripada pelajar cemerlang STPM negeri berkata kelebihan surah itu dapat menyegarkan ingatannya serta membuatkannya mudah memahami setiap pelajaran diajar guru sekali gus memudahkannya menjawab peperiksaan dengan tenang.

"Walaupun sibuk menolong bapa saya berniaga, saya juga tidak pernah melupakan tugas sebagai seorang pelajar dengan sentiasa mengulang kaji pelajaran apabila ada masa terluang," katanya.

Nurhayati berkata dia mengimpikan untuk menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam jurusan Ekonomi selepas ini. - BERNAMA