Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, tidak seperti banyak negara lain, di Malaysia, semua rakyat mempunyai peluang untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti kerana keprihatinan kerajaan terhadap hal-ehwal pendidikan di negara ini.

Beliau berkata, dalam Bajet 2018, kerajaan telah memperuntukkan RM250 juta bagi meningkatkan tahap pendidikan di negara ini.

"Pelaburan kerajaan dalam pendidikan serta kehebatan kepimpinan kementerian berkenaan dan universiti telah membuahkan hasil apabila kelima-lima universiti penyelidikan di negara ini telah meningkat naik dalam kumpulan 300 universiti terbaik global.

"Ini semua dapat dicapai apabila kita mempunyai sebuah kerajaan yang amat prihatin dengan tahap pendidikan rakyatnya dan sanggup memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk menjadikan kualiti pendidikan Malaysia bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Majlis Makan Malam Bersama Menteri sempena perasmian Persatuan Alumni Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Se-Malaysia (ASPAA) dan Ramah Mesra Komuniti Setempat di UiTM Seremban, dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Negara, Prof. Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah dan Penasihat ASPAA, Prof. Dr. Posiah Mohd. Isa.

Sementara itu, Posiah berkata, sejak dilancarkan pada 9 Mei tahun lalu, ASPAA telah menganjurkan pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang sangat memberi faedah kepada fakulti dan komuniti.

Katanya, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) yang telah wujud sejak lima dekad lalu telah membentuk diaspora alumni yang berjumlah lebih daripada 15,000 orang yang kini berkhidmat di pelbagai sektor, organisasi dan entiti dalam serta luar negara. - UTUSAN ONLINE