Istiadat pemakaman diraja berkenaan dimulakan pada pukul 2.30 petang setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga anakanda Almarhum.

Jenazah Almarhum dibawa menaiki van jenazah dari Istana Abu Bakar ke Makam Diraja sejauh 2.2 kilometer dengan Al-Sultan Abdullah turut menaiki kenderaan berkenaan.

Sejurus selepas jenazah diletakkan di dalam van, sebanyak 88 das tembakan istiadat meriam menyamai usia Almarhum dilepaskan pasukan 41 Rejimen Artileri Diraja (RAD) yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh, Selangor sebagai simbolik mengiringi pemergian baginda untuk istiadat pemakaman.

Tembakan meriam dilepaskan setiap 23 meter pergerakan bermula dari Istana Sultan Abu Bakar ke Makam Diraja dengan upacara tembakan itu diadakan di pekarangan Istana Sultan Abu Bakar dan pekarangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di sini.

Yang turut mengiringi jenazah ialah kerabat terdekat, kerabat bergelar, pembesar negeri, golongan agamawan dan pengiring lelaki yang memakai baju Melayu hitam, bersampin hitam dan bersongkok dengan lilitan putih manakala wanita pula berbaju kurung labuh hitam serta tudung atau berselendang hitam.

Terdapat juga pengiring lelaki yang memakai ‘lounge suit’ berwarna hitam dan bersongkok dengan lilitan putih atau lilitan putih di lengan jika tidak memakai songkok bagi yang bukan beragama Islam.

Jenazah Almarhum kemudian disembahyangkan di Masjid Sultan Ahmad Shah yang terletak bersebelahan Makam Diraja dengan diimamkan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman yang turut mengetuai bacaan talkin.

Sultan Ahmad Shah, 88, yang memerintah Pahang selama 45 tahun mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 8.50 pagi semalam.

Almarhum yang merupakan Sultan Pahang Kelima memegang tampuk pemerintahan negeri selama 45 tahun sebelum diambil alih oleh Al-Sultan Abdullah pada 12 Januari lalu ekoran keadaan kesihatan baginda yang tidak mengizinkan. - UTUSAN ONLINE