Air matanya sudah kering me­­ngenangkan nasib yang me­nim­pa­nya, namun Uji atau nama sebenarnya, Fuziah Haroun Al-Rashid tidak pernah kesal atau menyalahkan takdir, sebaliknya, sentiasa berusaha untuk me­ngubah masa depannya.

Dalam masa sama, Uji sentiasa percaya ada hikmah yang menanti di sebalik dugaan hidup yang dilaluinya.

Lalu, kurniaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepadanya disambut penyanyi yang popular dengan lagu Semakin Hari Semakin Sayang itu dengan penuh syukur dan terharu.

“Allah mendengar doa saya. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang membantu saya mendapatkan rumah PPR. Alhamdulillah ada tempat untuk berlindung dan saya tidak perlu bimbang pada setiap bulan untuk memikirkan sewa rumah yang perlu dibayar,” ujar­nya dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penghibur yang pernah me­nempa kemasyhuran sekitar era 1970-an menjadi perhatian media dan peminat sebaik berita mengenai permohonannya untuk mendapatkan rumah PPR diterima dan diserahkan sendiri oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menjadi tular semalam.

Lebih menyentuh perasaan ialah apabila Uji diminta keluar dari rumah sewanya di Ampang, Selangor dalam masa terdekat kerana tidak dapat melunaskan sewa bulanan.

Kata Uji, kurniaan rumah PPR dengan bayaran bulanan yang rendah itu sudah cukup besar buatnya memandangkan selama ini, dia dan anaknya melalui kehidupan yang sangat sederhana.

“Ini rumah mampu milik dan sa­ya sangat-sangat beruntung dan bersyukur kerana dapat memilikinya. Saya tak mampu nak beli rumah besar atau banglo mewah,” katanya penuh jujur.

Melalui hidup yang sukar termasuk membesarkan anak tunggalnya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin atau Cico, 39, selama lebih tiga dekad, Uji meluahkan rasa terkilan apabila segelintir pihak tidak pernah cuba untuk mendasari bagaimana beliau berjuang meneruskan kehidupan.

“Artis dipersalahkan dan dibidas dengan pelbagai tuduhan apabila kami melalui saat yang susah. Saya tidak mengharapkan apa-apa simpati, sebaliknya, saya sangat gembira jika orang ramai cuba meletakkan diri mereka ke tempat saya.

“Orang ramai tidak tahu bagaimana susah payah saya berusaha mencari rezeki, tetapi tidak selalu nasib menyebelahi saya. Namun begitu, saya tidak pernah rasa kesal kerana saya sentiasa percaya pada kebesaran Allah. Mungkin ada sebab kenapa saya tidak diberi kekayaan seperti orang lain,” ujar Uji lagi.