Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu menggantikan Tan Sri Yahaya Ibrahim yang tamat pelantikannya pada Ogos lalu.

Pelantikan Alimuddin, 65, sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-19 yang berlangsung tiga hari bermula hari ini.

Majlis penyerahan watikah pelantikan disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim selaku Canselor UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Alimuddin dilahirkan pada 7 November 1952 di Kampung Mandailing, Air Tawar dan me­rupakan Lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Pentadbiran Pendidikan.

Beliau yang memperoleh Sarjana Pendidikan pada tahun 1989 memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1976 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri, Changkat Jering, Taiping.

Tahun 2003 menjadi detik bermakna kepada beliau apabila dilantik sebagai Timbalan Pe­ngarah Bahagian Sekolah di Kementerian Pendidikan.

Selepas itu, kerjayanya terus menyerlah apabila beliau diberi kepercayaan untuk memegang beberapa jawatan lain iaitu sebagai Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Swasta dan jawatan yang sama di Kementerian Pengajian Tinggi apabila kementerian dipisahkan.

Pada tahun 2005, beliau kembali semula berkhidmat di Kementerian Pendidikan sebagai Ketua Jemaah Nazir Sekolah dan selepas itu menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan.

Tanggal 16 Julai 2007 me­nyaksikan sekali lagi detik bersejarah kepada kerjaya beliau apabila dilantik memegang tampuk kepemimpinan Kementerian Pendidikan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM).

Alimuddin bersara daripada perkhidmatan pendidikan pada 6 November 2010 setelah me­nyumbang bakti kepada negara dan bangsa selama hampir 35 tahun.

Sepanjang berkhidmat sebagai KPPM, Alimuddin bergiat secara aktif dalam merangka pelbagai dasar, peraturan, menyediakan pekeliling ikhtisas dan garis panduan bagi memperkemaskan dan meningkatkan kualiti pendidikan.

Antaranya termasuklah pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang merupakan salah satu pencapaian besar dilaksanakan sebelum beliau bersara dalam per­khidmatannya.

Beliau juga telah memper­kenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).