Malah, sebaik sahaja menjejakkan kaki di sempadan negara ini, Wan Mohamad Amirul Adib Wan Mohd. Subhi, 22, tidak dapat menahan sebak dan hanya mampu mengungkapkan 'Alhamdulillah dah sampai negara aku' kerana mengenangkan pengalamannya meringkuk di sebalik tirai besi di negara jiran itu.

Bapa kepada seorang anak yang berusia dua tahun itu juga kini serik dan trauma kerana hasrat menambah pendapatan dengan menjadi pemandu pelancong sampingan itu berdepan detik sukar kerana dipenjarakan atas kesalahan yang dianggap berat di Thailand.

"Ketika diberitahu akan dihantar ke penjara, bermacam-macam perkara bermain di fikiran saya, apatah di negara orang yang pertama kali saya jejakkan kaki.

"Selama 30 hari, banyak pengalaman yang saya peroleh ketika berada dalam penjara, saya menangis kerana fikir yang bukan-bukan termasuk keadaan anak dan isteri di tanah air serta keluarga," katanya ketika ditemui di rumah ibunya, di Taman Lumba Kuda sini hari ini.

Wan Mohamad Amirul Adib ditahan polis Thailand pada 14 Disember lalu dalam satu sekatan jalan raya berhampiran Sadao kerana kesalahan membawa alat telekomunikasi itu tanpa kebenaran selain tiada permit membawa pelancong ke negara itu.

Pemuda itu dikenakan denda sebanyak 400,000 baht atau RM51,800 atas kesalahan berkenaan. Kisahnya menjadi tular di media sosial selepas isterinya, Afiqah Baharuddin, 22, meluahkan isi hatinya melalui Instagram yang turut memohon bantuan rakyat Malaysia mencukupkan jumlah bayaran denda itu.

Tambah Wan Mohamad Amirul Adib, dia tidak akan kembali ke negara itu dalam masa terdekat biarpun hanya melancong sendiri atau bersama keluarga kerana trauma dengan kejadian berkenaan.

"Semasa dalam penjara, saya lihat ramai rakyat kita ditahan di sana atas pelbagai kesalahan dan saya juga lega apabila ada beberapa daripada mereka menenangkan saya kerana melihat saya tidak tentu arah akibat memikirkan nasib di dalam penjara.

"Malah, saya juga risau jika kena pukul atau kejadian-kejadian seperti yang digembar-gemburkan di dalam penjara, tapi syukur keadaan saya baik dan tidak mengalami apa-apa sakit," ujarnya sambil mengalirkan air mata.

Penasihat jualan syarikat pengeluar perkakasan rumah itu turut berterima-kasih kepada semua pihak yang membantu dari awal sehingga akhir proses pembebasannya termasuk individu-individu tertentu, pihak konsulat dan pihak berkuasa tempatan.

"Berdasarkan pengalaman perit ini, saya juga ingin menasihatkan kepada semua untuk mengkaji atau mempelajari undang-undang sesebuah negara, prosedur semasa berada di sana serta ambil tahu apa yang boleh dan tidak boleh kita lakukan," katanya. - UTUSAN ONLINE