Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, tindakan tersebut penting kerana sekiranya EU benar-benar me­laksanakan pengharaman itu, ia akan memberi impak buruk kepada Malaysia khususnya terhadap 600,000 pekebun kecil tempatan.

Katanya lagi, EU merupakan antara pengimport utama sawit negara dan kementeriannya mengambil berat perkara itu bagi memastikan industri sawit negara tidak terjejas.

“Kita dan Indonesia akan mengajak negara-negara pengeluar lain untuk berbincang de­ngan EU. Jika mereka (EU) bersikap tidak adil, kita juga boleh bertindak-balas. Namun terlebih dahulu kita mahu menyelesaikan isu ini dengan baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenya­taan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, bahawa Malaysia mungkin me­laksanakan tindak balas ke atas mana-mana negara yang cuba menyekat perkembangan industri minyak sawit tempatan melalui dakwaan yang tidak berasas.

Ini ekoran tindakan EU yang baru-baru ini mengusulkan satu resolusi untuk menghalang penggunaan bahan api bio yang berasaskan sawit kerana pembangunan tanaman itu dikatakan dilakukan secara tidak mampan dan mencemarkan alam sekitar.

Kata Siew Keong lagi, dakwaan EU bahawa sistem perladangan sawit akan menyebabkan berlakunya penebangan hutang secara besar-besarkan adalah tidak tepat.

INFO