Itu realiti dihadapi puluhan pengayuh beca di bandar raya pertama Georgetown itu yang perkhidmatan mereka semakin disisihkan pelancong.

Sebahagian besar mereka juga hanya bergantung hidup dengan sumbangan RM20 seminggu daripada kerajaan negeri iaitu jumlah yang sebenarnya terlalu sedikit untuk mereka meneruskan kehidupan seharian.

Berkongsi keperitan hidup itu, seorang penga­yuh beca Muhamad Arifin, 66, berkata dia pernah merayu kepada pelancong untuk menggunakan perkhidmatan becanya selepas mereka berasa kasihan dengan keada­an fizikalnya sebagai warga emas.

“Saya terpaksa meminta mereka untuk tidak mengasihani saya kerana meskipun merupakan warga emas, tulang empat kerat saya masih kuat untuk mengayuh beca,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Muhamad, dia masih setia mencari rezeki de­ngan mengayuh beca walaupun berdepan risiko pendapatan tidak menentu kerana pekerjaan itu sudah lama dilakukannya iaitu sejak 1960-an.

Halim Said, 75, yang sudah menjadi pengayuh beca selama 20 tahun turut mengakui kesukaran hidup dialami mereka yang menjalankan kerja itu.

Katanya, perkhidmatan beca ketika ini juga hanya digunakan pelancong luar negara untuk mengelilingi Georgetown manakala orang tempatan tidak lagi berminat.

“Kami harap pelancong tempatan dapat menyokong kami dengan menggunakan perkhidmatan beca ketika melancong di negeri ini.

“Jangan bimbang, ini kerja kami, walaupun sudah berusia tulang empat kerat kami masih lagi mampu mengayuh beca,” katanya.