Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, semakan telah dilakukan pihaknya terhadap alamat yang tertera di borang pengiriman iaitu di Taman Gopeng Baru.

"Semakan telah dilakukan dan mendapati alamat tersebut tidak wujud. Tambahan pula, Taman Gopeng Baru di Gopeng manakala Jalan Gopeng pula berada di Kampar.

"Berdasarkan alamat itu, jelas tertera Jalan Gopeng di Taman Gopeng Baru. Maknanya alamat itu adalah palsu dan tidak wujud," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Akhbar baru-baru ini melaporkan seekor ular sawa dibungkus di dalam kotak dengan label 'kasut bola' dan dikirim menggunakan perkhidmatan Pos Laju ke blok kediaman mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

Bagaimanapun kotak yang dihantar menerusi serahan di kaunter di Pejabat Pos Mambang Diawan, Kampar itu telah dibuka oleh kakitangan Pos Malaysia setelah curiga apabila mengesyaki terdapat benda hidup di dalamnya.

Kejadian itu mendapat pelbagai reaksi setelah bebebapa keping gambar tersebar di media sosial. - UTUSAN ONLINE