Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, Al-Ishsal merupakan pemegang ijazah sarjana muda Pengurusan (kepujian) dari Universiti Sains Malaysia dan juga pemegang biasiswa Japan Airlines di Sophia University, Tokyo.

Menurutnya, selepas tamat pengajian, beliau menceburi bidang keusahawanan di arena digital dari tahun 1994 sehingga 2008.

“Beliau kemudiannya menjadi Ketua Pegawai Digital McCann Ericsson Worldgroup; Ketua Pegawai Eksekutif Baraka Telecom; Naib Presiden Kanan, Pemasaran & Produk di Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad; Ketua Kumpulan Ancilliary AirAsia dan kemudiannya memegang pelbagai jawatan pegawai kanan di Tune Group.

“Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Asia Tenggara ECO Capacity Exchange Ltd (London) serta pelatih dan perunding untuk Kumpulan Airbus sebelum menyertai Pos Malaysia Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Al-Ishsal juga pernah berkhidmat di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC) dan merupakan bekas ahli Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC). – UTUSAN ONLINE