Guru penasihat bagi kumpulan Gamelan Nuansa Lestari, MRSM Merbok, Kedah Noraini Aziz berkata, pelajar yang me­nyertai aktiviti se­ni itu sebenar­nya menjadi lebih berdisiplin kerana mereka perlu membahagikan masa antara pelajaran dan penglibatan dalam seni muzik.

“Apabila menyertai aktiviti ini, mereka juga perlu memberikan komitmen, sekali gus mengajar mereka lebih berdisi­p­lin dan bertanggungjawab.

“Malah, ia juga memberikan banyak kebaikan kepada pelajar kerana mereka dapat menggunakan kedua-dua otak iaitu otak kiri dan kanan, yang sekali gus menyeimbangkan proses pembelajaran mereka,” katanya.

Noraini berkata, pelajar tidak boleh hanya menjurus kepada akademik sahaja iaitu membaca buku setiap waktu kerana ia boleh memberikan tekanan kepada mereka.

Untuk itu, katanya, aktiviti seni adalah salah satu cara untuk mereka menghilangkan tekanan dan ia ternyata membantu pelajar merehatkan min­da mereka.

“Setakat ini tidak ada lagi pelajar yang merosot akademik­nya hanya disebabkan penglibatan dalam aktiviti seni muzik,” kata Noraini.

Ketika ditanya tentang Konsert Inspirasi Muzikal, Noraini berkata, ia adalah satu platform terbaik dalam usaha mengetengahkan bakat pelajar MRSM.

“Selama ini, mungkin kita tidak sedar pelajar MRSM mempunyai bakat terpendam. Tetapi, melalui aktiviti seni ini, kami berjaya mencungkil bakat mereka dan cuba mengetengahkannya kepada umum.

“Bagi kumpulan Gamelan Nuan­sa Lestari, ada pelajar yang bijak mencari nota muzik sendiri menggunakan alatan gamelan. Itu satu pencapaian yang baik,” katanya.

Dalam konsert tersebut, Ga­melan Nuansa Lestari yang dianggotai 15 pelajar MRSM Merbok mempersembahkan lagu Nasti 2 yang diberikan sedikit penambahbaikan.

Selain itu, pelajar-pelajar MRSM Felda Trolak, Perak turut menonjolkan pencapaian cemerlang dalam pelajaran dan juga seni muzik.

Malah, kumpulan MARESMAF Wind Orchestra yang ditubuhkan oleh MRSM Felda Trolak ini hampir setiap tahun meraih pingat dalam Pertandingan Wind Orchestra Sultan Idris anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Untuk tahun ini, kumpulan tersebut telah memenangi pingat perak dalam pertandingan tersebut. Sebelum ini, mereka telah membawa pulang pingat emas (2013) pingat perak (2014) dan emas (2015).

Menurut guru penasihatnya, Suhaizal Samsudin, kejayaan le­bih membanggakan adalah keba­nyakan anggota MARESMAF Wind Orchestra adalah terdiri dari­pada anak-anak peneroka Felda.

Malah, katanya, untuk persembahan Konsert Inspirasi Muzikal, separuh daripadanya adalah anak-anak Felda.

MARESMAF Wind Orchestra telah membuka persembahan dalam Konsert Inspirasi Muzikal dengan menyampaikan lagu Tari Gambus dan kemudiannya mempersembahkan lagu Choreography dan The Pirates of the Carribean.

“MARESMAF Wind Orchestra bukan sahaja mengetengahkan MRSM di mata dunia apabila berjaya memasuki pertandingan antarabangsa dalam Singapore International Band Festival pada Julai lalu, tetapi pada masa sama turut mempromosi kebolehan anak-anak Felda di luar negara,” katanya.

Lebih membanggakan kata Suhaizal, terdapat tiga pelajarnya telah memilih bidang muzik apabila melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi dan mereka menyatakan bahawa MRSM Felda yang memperkenalkan muzik kepada mereka.