Antara aktiviti yang bakal mendapat sambutan hebat ialah Studio Penghias Wajah dan cenderamata cetakan foto pada cawan yang mana pengunjung berpeluang mengabadikan potret peribadi atau berkumpulan menjadi penghias kulit akhbar, majalah dan cawan keluaran Kumpulan Utusan.

Selain itu, pengunjung turut ditawarkan pakej cenderamata terdiri daripada tudung Hijab Fesyen dan minyak wangi URTV selain gerai jualan yang menawarkan harga amat berpatutan.

Bagi merancakkan lagi suasana persidangan, portal Magdaily akan menganjurkan Sembang Politik Bersama PapaGomo, petang esok manakala pada malamnya program sama dijayakan oleh Dira Abu Zahar.

Selain dapat ditonton secara langsung, ia juga boleh disaksikan menerusi laman Facebook Magdaily dan Utusan Karya.

Pada Sabtu bermula pukul 11 pagi pula, berlangsung ceramah agama oleh penceramah terkenal, Ustaz Khairul Anuar Basri atau lebih dikenali sebagai Ustaz Yo dan demonstrasi masakan oleh blogger masakan, Martini yang bakal menyajikan beberapa jenis masakan ringkas pada 12.30 tengah hari.

Buat peminat setia pelakon, Elly Suriati dan penyanyi, Sahara Yaacob, pengunjung boleh bersama mereka pukul 2 petang.

Pada Ahad pula, diadakan ceramah kesihatan bersama pakar diet dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Khairul Azuan, pukul 11 pagi manakala tengah hari, demonstrasi masakan oleh Fatihah Frozen diikuti aktiviti imbas makhluk halus bersama Ustaz Helmy daripada Sinar Zamdurrani, pukul 1 petang.

Sebelah petangnya pula diadakan kuiz selebriti bersama artis dan buskers. - UTUSAN ONLINE