Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail berkata, berdasarkan janji ke-21 manifesto PH, kerajaan telah menyatakan pendirian yang jelas terhadap Akta Hasutan tetapi penggunaan secara berterusan undang-undang tersebut ketika ini menimbulkan kebimbangan terhadap orang ramai.


“Amat mengejutkan apabila Kabinet dan Ahli Parlimen PH yang mendakwa menyokong transformasi demokrasi boleh membenarkan perkara sebegini berlaku walaupun ada antara mereka merupakan mangsa Akta Hasutan.


“Suhakam mempersoalkan sama ada amalan pihak polis ini berkemungkinan bercanggah dengan polisi kerajaan dan agenda reformasi sehingga ke tahap pihak polis boleh dituduh menjalankan operasi bersifat autokrasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Razali berkata, Suhakam mengakui terdapat penulisan atau perkataan yang diungkap orang awam bersifat menghina tetapi itu merupakan hak untuk menyatakan pendapat membina kepada masyarakat berdemokrasi. -UTUSAN ONLINE