Menurut Perdana Menteri, akta tersebut masih ada dalam peruntukan undang-undang ne­gara malah kerajaan PH tidak menetapkan sebarang tempoh untuk memansuhkannya.

“Akta Hasutan masih ada. Memansuhkan undang-undang itu mengambil masa dan perlu dibawa ke Parlimen. Justeru dalam tempoh tersebut, undang-undang itu terus digunakan.

“Saya tidak mahu terganggu dengan perkara ini, malah me­ngalu-alukan sesiapa yang ingin menggelarkan saya dengan pelbagai nama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­lancarkan buku Tun Ismail Ali - Paragon of Trust and Integrity di Auditorium Sasana Kijang di sini hari ini.

Yang turut hadir isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz.

Janji ke-27 kerajaan PH menerusi manifesto PRU-14 ada menggariskan beberapa akta untuk dihapuskan antaranya Akta Hasutan 1948; Akta Pencegahan Jenayah 1959; Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2014.

Baru-baru ini, Azman Noor Adam iaitu adik kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ditahan polis di bawah Akta Hasutan 1948 atas dakwaan menyiarkan imej yang menghina Dr. Mahathir dalam media sosial.

Jelas Dr. Mahathir, Peguam Negara, Tommy Thomas akan meneliti kesemua undang-undang baharu dan beberapa peruntukan melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

“Banyak undang-undang yang perlu dimansuhkan manakala be­berapa peruntukan harus di­pinda. Jika melibatkan Perlembagaan Persekutuan, kita perlu majoriti dua pertiga tapi kita tidak memilikinya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri membe­ritahu, beliau perlu meneliti terlebih dahulu gesaan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang supaya kerajaan PH membuka semula siasatan terhadap kes pembunuhan berprofil tinggi yang berlaku lebih 10 tahun lalu.

“Saya tidak diberitahu me­ngenai perkara itu, saya perlu melihat dahulu segalanya di sebalik hal ini,” ujar beliau.