Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mekanisme sesuai tersebut akan dibincangkan di peringkat kementerian yang diketuai Menteri Pelajaran, Dr. Maszlee Malik dalam memastikan manifesto Pakatan Harapan sebelum ini dikotakan.

“Dr. Maszlee sudah maklum dengan manifesto Pakatan Harapan sebelum ini dan saya pasti impian untuk memansuhkan AUKU ini akan terlaksana tidak lama lagi.

“Selepas ia dimansuhkan, kita hendak ibu bapa mengambil berat kehadiran mereka (pelajar) dan penglibatan mereka dalam dunia politik juga seimbang dengan pelajaran mereka di universiti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel Siri Wacana Pasca PRU-14 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Antara panel lain termasuklah Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Felo Penyelidik Institut Kajian Etnik UKM, Datuk Dr. Denison Jayasooria dan Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Komunikasi UKM, Prof. Dr. Mohd. Fuad Mat Jali.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu turut menyarankan agar orang ramai bersabar dan memberi sedikit peluang kepada Pakatan Harapan untuk memastikan setiap janji dalam manifesto mereka dapat dilaksanakan.

Katanya, tanpa perbincangan dan srategi yang berkesan dalam menunaikan dan melaksanakan manifesto itu akan menyusahkan pentadbiran pada masa akan datang.

“Kita akan menunaikan janji kita cuma pelaksanaannya perlu teratur dan tidak terburu-buru bagi memastikan setiap janji itu dibuat dengan perancangan yang teliti,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE