Burhanuddin Ruslan

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Burhanuddin Ruslan ber­kata, pihak tertentu yang lantang mengkritik dan menghalang usaha itu seperti DAP tidak layak mencampuri urusan orang Islam.

Katanya, jika DAP masih mahu menjadi batu penghalang, parti yang didominasi kaum Cina itu perlu berdepan dengan Wira Perkasa negeri ini yang bersedia menjadi benteng bagi mempertahankan usaha tersebut.

“Wira Perkasa Kelantan men­­dengar pelbagai kritikan, rungut­an serta kata-kata negatif daripa­da organisasi bukan Islam me­ngenai cadangan pindaan ini se­dangkan mereka tidak ada kena mengena langsung dalam hal ini.

“Kita ingin mengingatkan pihak ini, jangan masuk campur hal eh­wal Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Ji­ka tidak, mereka akan berdepan dengan Wira Perkasa Kelantan terle­bih dahulu,” kata­nya ke­pada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini me­laporkan Timbalan Per­dana, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rang undang-undang persendirian tersebut akan dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang sebelum sidang Dewan Rakyat berakhir esok.

Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata, semua ahli Parlimen Islam diseru mengambil bahagian dalam perbahasan dan seterus­nya menyokong cadang­an pinda­an Akta 355 ini apabila dibentangkan kelak.

“Ingatlah, anda semua mempunyai tanggungjawab besar memastikan perkara ini direalisasikan, sekaligus memartabatkan mah­kamah syariah supaya setaraf dengan mahkamah sivil.

“Pembentangan usul ini juga membuktikan bahawa orang Melayu dan Islam di negara ini boleh disatukan biarpun berbeza ideologi politik,” katanya.

Menurutnya, pene­gasan berhubung so­kongan Wira Perkasa Kelantan terhadap pin­daan Akta 355 turut dibuat ketika beliau me­nyertai perbahasan sempena Persida­ngan Khas Tahunan Sayap-sayap Perkasa Kali Ketiga di ibu negara, minggu lalu.

“Dalam majlis sama, saya di­pilih sebagai penerima Anugerah Jasa Wira Perkasa.

“Sehubungan itu saya ingin berterima kasih kepada Pre­siden, Datuk Ibrahim Ali dan Yang Dipertua Perkasa Kelantan, Che Asri Ali serta seluruh pimpinan tertinggi Perkasa di atas pengiktirafan ini,” katanya.