KUALA LUMPUR 11 OGOS 2017 - Wawancara dengan Rector Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,Prof Datuk Seri Dr.Zaleha Kamarudin di Gombak di sini hari ini .Gambar:Zakaria Idris/Pemberita:Maisara-Am

ZALEHA: Sebenarnya sejak penggubalan akta ini pada tahun 1986, Jawatankuasa Tek­nikal Undang-Undang Sya­rak dan Sivil di bawah Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri tahu memang ada masalah dengan Seksyen 51 dan bersetuju untuk dipinda bermula tahun 2006.

Ini bukan berlaku semalam atau hanya dua atau tiga tahun lepas. Kita memerlukan transformasi undang-undang untuk bergerak kerana undang-undang kekeluargaan adalah sangat dinamik.

Sejak 11 tahun kebelakangan ini, undang-undang keluarga barat telah menyebut mana-mana pasangan berkahwin yang keluar daripada perkahwinan atas dasar memeluk agama Islam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 51 itu. Tetapi apa sahaja sebab lain untuk perceraian, dibenarkan pula. Itulah isu sebenar untuk mencari penyelesaian melalui undang-undang, bukan sebab politik atau isu antara orang bukan Islam melawan orang Islam.

Bagaimana sekiranya akta ini tidak dipinda?

Sebelum ini hak pasangan untuk memohon perceraian itu tidak ada jika memeluk Islam. Apabila tidak ada hak itu, maka perkahwinan sivil itu sah. Lebih merumitkan sekiranya yang memeluk Islam itu isteri yang tidak dibenarkan bercerai. Dalam undang-undang sivil, kalau dia masih isteri, dia perlu memenuhi hak-hak dan tanggungjawab sebagai isteri, sedangkan dari segi Islam, dia tidak perlu memenuhi hak dan tanggungjawab tersebut.

Mengikut pandangan Islam, perkahwinan itu terbatal kalau dia peluk Islam dan perlu minta pengesahan mahkamah syariah. Tetapi keputusan mahkamah syariah tidak terpakai di mah­kamah sivil. Inilah yang kita mahu selesaikan melalui pindaan Seksyen 51 supaya membenarkan perceraian berlaku.

Ada pihak mendakwa pindaan akta ini bercanggah de­ngan undang-undang Persekutuan sedia ada seperti Akta Undang-Undang Keluarga Is­lam Wilayah Persekutuan 2003 dan Perkara 121 1A Perlembagaan Persekutuan.

Dakwaan ini timbul berkaitan Seksyen 88A iaitu membabitkan status agama anak. Tetapi pindaan ini telah menggugurkan seksyen itu, jadi tidak ada lagi isu agama anak. Namun, ia tidak bermakna isu tersebut telah selesai kerana ini hanya langkah pertama dan hala tuju yang be­tul untuk menyelesaikannya dan akan mengambil masa me­lalui beberapa lagi proses perbincangan.

Apakah cadangan untuk menyelesaikan isu berkaitan hak penjagaan anak selepas pasangan memeluk Islam?

Cadangannya ialah supaya ditubuhkan Jawatankuasa Me­­diasi yang terdiri daripada hakim mahkamah syariah dan hakim mahkamah sivil untuk membincangkan soal hak penjagaan termasuk agama anak. Kita tidak mahu orang melihat Islam digunakan sebagai perisai untuk mengendahkan tanggungjawab dan digunakan untuk kepentingan diri sendiri.

Ada pula dakwaan me­ngatakan dengan kelulusan pindaan Akta 164 ini bererti kekalahan besar kepada umat Islam. Apa pandangan Prof.?

Isu mengatakan kedudukan Islam itu tercabar atau tergugat tidak timbul kerana Seksyen 88A telah digugurkan yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk membuat perintah hak penja­gaan. Mereka yang me­nim­bul­kan polemik kerana tidak mendapat penerangan jelas oleh pakar undang-undang berkaitan kekeluargaan.

Sepatutnya mereka tidak faham ini minta diperjelaskan bukannya mencetuskan kekeliruan. Mereka yang menolak pindaan ini kerana tidak faham isu sebenar.

Tunjukkan kepada saya bahagian mana yang dikatakan ia boleh memberi kekalahan kepada umat Islam sedangkan ia memberi ruang kepada orang Islam untuk menegakkan keadilan. Apa akan jadi dengan institusi kekeluargaan pada masa akan datang sekiranya kerajaan tidak meregulasikan undang-undang ini.