Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sendiri akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Aza­lina Othman Said yang diberi tanggungjawab untuk membentangkan pindaan akta berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau telah membaca sepenuhnya teks kenyataan sidang akhbar Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria semalam yang meminta kerajaan tidak meneruskan pindaan akta itu yang disifatkan bertentangan dengan agama Islam dan Perlembagaan negara.

“Kita menghormati pandang­an beliau (Harussani) dan fatwa yang dibuat sebelum itu tetapi sebagaimana yang dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, kita akan melihat bahawa kepentingan negara mengatasi lain-lain kepenti­ngan.

“Kita berharap apa jua keputusan yang akan dibuat kerajaan, kita mesti berlapang dada, kita menghormati semua agama dan hak semua kaum, dan dalam soal ini, keputusan kerajaan adalah berdasarkan kepada kepentingan negara keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke International Modern Arabic School (IMAS) di sini hari ini.

Semalam, Harussani meminta kerajaan tidak meneruskan pindaan Akta 164 kerana ia akan menyebabkan berlakunya penenta­ngan terhadap hukum yang telah ditetapkan oleh syarak selain bercanggah dengan fatwa daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-87 pada Jun 2009.

Muzakarah tersebut menetapkan apabila salah seorang pasa­ngan sama ada ibu atau bapa memeluk agama Islam, status agama anak-anak bawah umur secara langsung adalah Islam.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak menutup pintu Malaysia kepada para pengunjung dari Asia Barat meski pun pelbagai tanggapan negatif dilontarkan oleh negara-negara barat.

“Kalau ada satu atau dua yang tidak baik, tidak bermakna ke­semuanya dianggap tidak baik. Kita mengalu-alukan mereka untuk datang melancong dan belajar di negara ini,” katanya ketika berucap semasa lawatan di sekolah antarabangsa berkenaan.

Ahmad Zahid bagaimanapun mengingatkan, kerajaan akan me­ngambil tindakan tegas dan langsung tidak berkompromi sekiranya terdapat warga asing di negara ini yang terlibat dalam aktiviti keganasan dan jenayah.