Beliau berkata, setiap pembangunan di kawasan yang melibatkan kecerunan melebihi 25 darjah dan jumlah ketinggian menegak melebihi 10 meter diwajibkan untuk menyediakan laporan geoteknikal oleh pemeriksa bertauliah yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia.

“Akta ini akan dibawa dalam sesi Dewan Rakyat pada bulan hadapan untuk dibahaskan. Langkah ini dibuat berikutan berlakunya kejadian tanah runtuh sebelum ini.

“Kerajaan sebelum ini telah mengambil langkah ini bagaimanapun mereka mengambil masa yang agak lama untuk melaksanakannya iaitu dengan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan menimbang syor-syor yang diberikan untuk kelulusan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan Ke-72 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Mengulas lanjut, Dr. Wan Azizah berkata, mana-mana pihak yang mengingkari arahan tersebut tidak akan diberi kebenaran untuk pembinaan di kawasan cerun.

Beliau berkata, apabila akta tersebut dipinda juga pihaknya akan diberi kebenaran untuk menjalankan kawal selia di bangunan lama yang telah didirikan termasuk harta milik persendirian.-UTUSAN ONLINE