Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, sebaliknya sijil tersebut hanya untuk pentadbiran yang kadang kala prosesnya terpaksa memakan masa atau pun disebabkan individu itu sendiri, yang enggan menukar dokumen terbabit.

Kata beliau, begitu juga sebaliknya jika seseorang muslim yang mengamalkan cara hidup kafir adalah terkeluar daripada agama itu walaupun di dalam kad pengenalannya menyatakan bahawa dia beragama Islam.

“Saya tidak bermaksud menghina mana-mana keputusan mahkamah atau tidak merujuk mana-mana kes tetapi setiap muslim harus faham hukum, kerana akidah itu tidak ditentukan di atas ‘kertas’ sebaliknya keyakinan kepada Allah SWT,” katanya dalam satu rakaman kuliah yang dimuat naik dalam Facebook Suara Sunnah hari ini.

Dalam hal berkaitan soal penentuan agama si anak apabila salah seorang ibu atau bapa bukan muslim menganut agama Islam, Mohd. Asri menjelaskan bahawa terdapat beberapa keadaan dan senario yang perlu diambil kira.

Katanya, berdasarkan mazhab Syafie, jika salah seorang ibu atau bapa bukan muslim menganut Islam maka anak-anak adalah secara automatik menjadi muslim.

“Namun dalam fatwa Perlis berbeza terhadap keadaan di mana jika si ibu atau bapa bercerai dan kemudian salah seorang daripadanya menganut Islam, maka anak-anak adalah dibenarkan mengikut ajaran agama si penjaga (ibu atau bapa) yang memelihara mereka,” katanya.

Dalam hak penjagaan atau hadanah pula, katanya, fatwa Perlis juga membenarkan si anak untuk membuat pilihan dan keselesaan untuk mengikut ibu atau bapanya tanpa semestinya terikat kepada salah seorangnya yang beragama Islam.

“Ini berdasarkan satu hadis yang mana Rasulullah SAW pernah memberi kebebasan kepada seorang kanak-kanak untuk memilih mengikut ibunya yang bukan beragama Islam kerana lebih rapat, sedangkan ketika itu bapanya sudah menjadi muslim,” katanya.

Tambah beliau, dalam memberi keadilan, si anak haruslah diberi pilihan sebaiknya untuk membuat keputusan sama ada hendak mengikut si ibu atau bapa tanpa sebarang paksaan memeluk mana-mana agama. - UTUSAN ONLINE

sharilfuddin saari