Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Akid One mempertaruhkan lukisan mural berkonsepkan ‘Australian Culture’ menggunakan medium semburan cat berjaya mengalahkan sembilan finalis lain serta membawa pulang wang tunai RM15, 000 beserta hamper.

Selain itu beliau juga merupakan salah seorang wakil Malaysia yang akan dipilih untuk ke Melbourne, Australia bagi menjayakan festival Wall To Wall yang akan berlangsung tahun depan.

Menurut anak muda kelahiran Kota Bahru, Kelantan, dia sendiri tidak menyangka lukisannya dipilih sebagai pemenang utama kerana merasakan saingan yang cukup sengit di antara peserta-peserta lain yang lebih berpengalaman.

Tambahnya lagi, idea lukisan tersebut datang secara seponton dan dia telah mengeluarkan modal sebanyak RM5,000 untuk membeli kelengkapan serta mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkannya.

“Memang saya bertekad untuk menang dalam pertandingan ini kerana selain daripada hadiah lumayan yang ditawarkan, saya juga berkeinginan untuk mempamerkan karya saya di luar negara. Alhamdullillah, doa saya termakbul akhirnya. Insya-Allah di sana nanti pasti saya akan menghasilkan satu karya yang cukup menarik untuk tatapan pelancong. Apa yang sya fikirkan tentulah lukisan yang berkonsepkan budaya, alam sekitar dan masyarakat Malaysia.

“Sejujurnya ramai yang masih menganggap lukisan mural ini lebih bersifat vandalisme, namun sebenarnya ia adalah satu cabang seni yang cukup indah dan dapat menjadi daya tarikan. Negara- negara luar misalnya di Eropah sudah lama mengiktiraf lukisan mural sebagai seni unik untuk tatapan pelancong, apatah lagi saya sendiri sudah kerap kali dijemput untuk melukis mural di luar negara seperti Dubai dan Indonesia,” ujarnya lagi.

Menurut Akid One, dia juga benar-benar berharap rakyat Malaysia akan membuka mata dan mengiktiraf seni lukisan mural ini kerana ia bukan saja menjadi daya tarikan pelancong, malah setiap mesej lukisan tersebut dapat disampaikan secara terus kepada yang melihatnya.

Sementara Pengarah Artistik Wall To Wall, Festival, Shaun Hossack berkata, bukan mudah untuknya menilai pemenang pada pertandingan ini  kerana kesemua peserta akhir sanbat hebat dan berbakat besar.

Katanya, pemilihan karya Akid One sebagai pemenangialah kerana terdapat ciri-ciri unik, seni, idea dan mesej yang disampaikan dalam karyanya.

“Lagipun kita kena pilih yang paling terbaik dalam yang terbaik untuk di bawa ke festival di Melbourne nanti. Akid One ialah individu yang paling tepat. Pastinya rakyat Malaysia berbangga apabila melihat hasil seni anak tempatan ini terpampang megah di tengah kota Melbourne nanti," kata Hossack.

Dalam pertandingan itu juga, Kong Chak Kiong terpilih sebagai pemenang kedua sekali gus membolehkan dia membawa pulang RM7,000 dan menemankan Akid One ke Australia manakala tempat ketiga dimenangi oleh Goh Jiat Sin yang menerima hadiah RM5,000.

Malaysia’s Street Art Competition merupakan pertandingan kali kedua yang dianjurkan oleh Visit Victoria dan UEM Sunrise sejak 2017. - UTUSAN ONLINE