KUALA LUMPUR 17 Mac – Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) yang diadakan secara dwi tahunan boleh diibaratkan sebagai acara yang dinanti-nantikan oleh usahawan bagi membuktikan kejayaan syarikat dalam industri yang diceburi.

AKI yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 1991 bertujuan memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat di Malaysia yang unggul dan mencapai kecemerlangan dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan.
Pada 2012, AKI telah melalui proses penjenamaan semula termasuk mengkaji semula konsep dan mekanisme penganjuran, kategori pertandingan, proses penilaian serta insentif kepada pemenang.
Sejak 2016, satu kategori baharu iaitu Kategori Terbuka diperkenalkan kepada syarikat multinasional (dari sektor pembuatan dan perkhidmatan).
Anugerah AKI yang paling eksklusif dan utama adalah Anugerah Perdana Menteri sebagai pengiktirafan kecemerlangan industri keseluruhan. Pemenang anugerah ini dipilih dalam kalangan pemenang-pemenang bagi setiap kategori.
Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan) MITI, Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, sejak penubuhannya, lebih 3,900 syarikat telah mengambil bahagian dalam AKI sementara pada 2016 sebanyak 63 syarikat mengambil bahagian.
“Kami amat berbangga dengan penyertaan serta sokongan syarikat-syarikat di negara ini terhadap AKI. Tidak timbul isu kegemilangan AKI sudah luntur sejak diperkenalkan 25 tahun lalu kerana masih mendapat tempat dalam kalangan usahawan yang ingin memperluaskan perniagaan mereka ke luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, AKI menggunakan Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan (BEF) sebagai kriteria penanda aras dalam proses penilaian sejak 2014.
Katanya, sistem tersebut digunakan hampir di seluruh dunia termasuk oleh organisasi antarabangsa seperti Anugerah Malcolm Baldrige di Amerika Syarikat dan Anugerah Perniagaan Singapura untuk tujuan mencapai kecemerlangan perniagaan bertaraf dunia.
“AKI diuruskan oleh Majlis AKI yang dilantik oleh MITI. Pengerusi Majlis AKI, Tan Sri Azman Hashim, dibantu oleh ahli-ahli majlis yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dan juga ketua-ketua industri. Selain disokong oleh Jawatankuasa Penilai.
“Majlis AKI menentukan kriteria pemilihan dan kategori anugerah, manakala Jawatankuasa Penilai akan menilai syarikat-syarikat yang mengambil bahagian. Berdasarkan laporan penilaian, Jawatankuasa Penilai akan mengesyorkan kepada Majlis AKI syarikat-syarikat yang disenarai pendek untuk setiap kategori.
“Akhir sekali, Majlis AKI akan memilih pemenang selepas melakukan perbincangan mendalam berkaitan kejayaan, potensi dan inovasi sesebuah syarikat sebelum melayakkan mereka menenangi anugerah,” jelasnya.
Tambah beliau, pemenang anugerah AKI bukan sahaja akan diberi pengiktirafan kerana memiliki kualiti produk atau perkhidmatan yang ditawarkan malah dalam masa yang sama diberi kebenaran eksklusif menggunakan logo AKI bagi tujuan publisiti untuk tempoh tiga tahun, sekali gus meningkatkan profil dan visibiliti syarikat tersebut dalam pasaran global dan serantau.
Katanya, penglibatan syarikat dalam AKI akan membuka peluang terutamanya kepada industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan untuk berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburi dengan menjadikan BEF sebagai penanda aras.
“Saya berharap lebih banyak syarikat IKS berjaya bukan sahaja di Malaysia malah mampu menembusi pasaran yang lebih besar, sekali gus meningkat keupayaan syarikat mereka untuk bersaing dengan syarikat-syarikat besar,” katanya.
Mengulas berkaitan masa depan AKI, beliau berharap lebih banyak syarikat di negara ini menerima pakai dan mengamalkan BEF sebagai piawaian untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.
“Saya percaya BEF adalah pemboleh (enabler) penting bagi syarikat-syarikat untuk membina daya saing dan menyiapkan diri untuk cabaran masa depan.
“Dalam masa sama, MITI akan meneruskan AKI dengan tumpuan lebih kepada pembangunan syarikat tempatan yang lebih berkualiti dan dapat mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik untuk masa depan,” ujarnya.
JANGAN TEPIS SALAM PERSAHABATAN CHINA