Seramai empat anak muda dari Kemaman hari ini tampil menghulurkan bantuan sebanyak RM450 kepada Ishak Awi, 59, sebagai 'pengganti' kepada BSH bujang bernilai RM100 yang dikatakan layak diterima lelaki berkenaan.

Mereka adalah Mohd. Zammil Mohd. Zuslaini, 37; Mohd. Hanafi Rahman, 33; Mohd. Azizul Walik, 35 dan Mohamad Ezhar Hidayat, 26.

Wakilnya, Mohd. Zammil berkata, mereka terpanggil untuk membantu Ishak ekoran kecewa dengan sikap kerajaan yang seolah-olah mahu mengurangkan jumlah penerima BSH apabila mengenakan syarat yang ketat di samping pengurangan peruntukan berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini.

"Kalau kerajaan tak mahu bagi kerana golongan ini tak memenuhi kriteria baharu ditetapkan tak apa lah, Insya-Allah ada insan atau organisasi yang mengambil berat tentang keperitan meraka.

"Dengan cara ini secara tidak langsung kita mahu menghantar mesej kepada kerajaan jika gagal membela nasib golongan memerlukan jangan terkejut sekiranya ada pihak lain yang bangkit membantu mereka yang tersisih," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Semalam, Ishak yang kudung kedua-dua belah kaki di samping cacat tangan kiri sejak lahir mengesahkan tidak berhasrat untuk memohon bantuan itu lagi selagi jumlah yang layak diterimanya kekal RM100. - UTUSAN ONLINE