Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, dengan pelancaran itu, sudah pasti ia akan menjadi alat bantu bantu terbaik dalam sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) di semua peringkat sekolah.

“Sebelum ini kita hanya menerima akhbar Tutor sahaja yang diberikan kepada semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ( UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Mulai hari ini, akses pelajar untuk mendapat bahan pendidikan yang disediakan oleh Kumpulan Utusan kini lebih mudah menerusi bahan latih tubi dalam talian ini dan saya yakin ia mampu menjadi nilai tambah kepada semua pelajar dan guru,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pendidikan bersama Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan Tutor dalam talian dan menyerahkan sebanyak 6,000 kata laluan dengan jumlah penajaan sebanyak RM600,000 kepada semua pelajar berkenaan di 66 buah sekolah sekitar daerah ini.

Yang turur hadir Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul dan Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Anjang Ruddin. - UTUSAN ONLINE