Menurut firma pengauditan, Audit Bureau Circulation (ABC) bagi tempoh Julai hingga Disember tahun lalu, edaran akhbar Mingguan Malaysia adalah tertinggi iaitu sebanyak 245,911 naskhah.

Kedua tertinggi ialah Kosmo! Ahad dengan edaran sebanyak 166,774 naskhah jauh meninggalkan akhbar pesaing, Metro Ahad pada 120,979 naskhah dan BH Ahad yang hanya mencatatkan edaran sebanyak 62,927 naskhah.

Edaran bagi akhbar harian Utusan Malaysia pula menjadi antara tertinggi dalam kalangan akhbar berbahasa Melayu di negara ini iaitu sebanyak 112,050 naskhah, tetap jauh meninggalkan akhbar pesaingnya, Berita Harian dengan hanya 69,985 naskhah.

Satu lagi produk Kumpulan Utusan, Kosmo! pula kekal menjadi akhbar berbahasa Melayu harian nombor satu dengan jualan 155,996 naskhah meninggalkan akhbar pesaingnya, Harian Metro pada 112,705 naskhah.

Berdasarkan rekod ABC, akhbar terbitan Kumpulan Utusan kekal menunjukkan prestasi yang baik dari segi edaran sepanjang tahun lalu.

Malah, Selangor kekal menjadi negeri paling banyak edaran akhbar terbitan Kumpulan Utusan setakat ini diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut ABC lagi, bagi kategori akhbar berbahasa Inggeris, akhbar The Sun kekal menjadi akhbar yang mencatatkan edaran paling tinggi dengan 307,785 naskhah manakala The Star dengan 201,943 naskhah jauh meninggalkan pesaingnya, New Straits Times dengan hanya 36,278 naskhah.-UTUSAN ONLINE

Akhbar berbahasa Cina pula, Sin Chew (edisi siang) kekal berada di nombor satu dengan jualan sebanyak 294,476 naskhah, jauh meninggalkan pesaingnya, Guang Ming (edisi siang) pada 53,140 naskhah.

Aliran kejatuhan edaran akhbar tempatan juga seiring senario peralihan minat pembaca beralih kepada platform digital yang dikatakan lebih pantas dan boleh diakses di mana-mana pada bila-bila masa.-UTUSAN ONLINE